PETALING JAYA: Syarikat terkemuka China dalam industri pemisah bateri litium, bakal melabur RM3.2 bilion untuk pembinaan kilang sulungnya di Pulau Pinang.
Pelaburan dibuat oleh INV New Material Technology (M) Sdn. Bhd. (INV), anak syarikat Shenzhen Senior Technology Material Co. Ltd., syarikat terkemuka China dalam industri pemisah bateri litium global.
Kilang tersebut bakal dibina di Taman Teknologi Pulau Pinang, mampu menghasilkan 1.3 bilion meter persegi pemisah proses basah dan pemisah bersalut setiap tahun.
Pelaburan itu mengukuhkan kedudukan Malaysia dengan fasiliti pertama seumpamanya di Asia Tenggara dan memberikan sumbangan yang besar kepada industri tenaga baharu global.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kilang baharu INV menyumbang kepada merealisasikan visi strategik Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Pelan Hala Tuju Industri Kimia 2021-2030.
Katanya, kemasukan satu lagi pengeluar komponen kenderaan elektrik (EV) utama itu adalah rangsangan besar kepada cita-cita MITI untuk menjadikan Malaysia hab EV serantau.
“Memandangkan INV juga memanfaatkan ekosistem plastik khusus di Malaysia, MITI dan agensinya, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berharap memudahkan penumpuan pelbagai sektor industri untuk merangsang pertumbuhan dan inovasi merentas sektor.
“Pencapaian pelaburan ini bukan sahaja akan mewujudkan sehingga 4,000 pekerjaan untuk rakyat Malaysia, tetapi juga melangkah jauh ke arah memenuhi visi kami untuk masa depan pembuatan yang dinamik, canggih dan transformatif,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Wira Arham Abdul Rahman berkata, penubuhan kemudahan pembuatan INV itu menjadikan Malaysia sebagai satu daripada hab pemisah bateri litium-ion terbesar di Asia Tenggara.
“Kemudahan ini berdiri sebagai model yang berpotensi, memberi nafas baharu kepada industri plastik semasa.
“Ini boleh membawa kepada anjakan transformatif dalam sektor plastik, mengalihkan tumpuan daripada komoditi dan barangan isi rumah ke arah pengeluaran plastik kejuruteraan khusus yang disesuaikan untuk aplikasi mewah,” ujarnya.
Tambahnya, MIDA komited untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi serta memupuk ekosistem rantaian bekalan pembuatan rentas sektor yang berdaya tahan di Malaysia. – UTUSAN











