Bekas pengarah syarikat didakwa terima wang haram RM1.23 juta

SC dakwa bekas pengarah syarikat terima wang haram RM1.23 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas pengarah syarikat, Kyaputen Sdn. Bhd. mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas sembilan tuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM1.23 juta.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya telah mengenakan pertuduhan terhadap Muhamad Fadzli Jamaludin (Fadzli) hari ini, kerana kesalahan pengubahan wang haram melibatkan lebih RM1.23 juta daripada aktiviti pengurusan dana tidak berlesen.

Fadzli, 33, dikenakan pertuduhan atas sembilan kesalahan mengikut seksyen 4(1)(b) Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) kerana menerima hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Kesalahan tersebut dilakukan antara Ogos 2018 dan April 2020.

Dalam pertuduhan tersebut, Fadzli mengaku tidak bersalah terhadap kesemua sembilan pertuduhan.

Hakim Mahkamah Sesyen, Azrul Darus membenarkan ikat jamin sebanyak RM180,000 dengan dua penjamin bagi kesemua sembilan pertuduhan.

Selain itu, Fadzli juga diperintah menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan melaporkan kepada SC setiap bulan sehingga selesai perbicaraan.

Pada 9 November 2023, Fadzli dikenakan pertuduhan atas kesalahan predikat di Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur, iaitu tiga pertuduhan di bawah seksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007, kerana menyatakan dirinya sebagai menjalankan perniagaan pengurusan dana tanpa lesen.

Dalam pada itu, SC turut menasihatkan pelabur supaya berhati-hati dalam menilai dan mengambil keputusan pelaburan.

“Senarai Peringatan Pelabur SC sentiasa dikemas kini untuk membantu orang ramai mengenal pasti platform, syarikat atau individu yang tidak dibenarkan atau tidak berlesen,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×