PETALING JAYA: Seorang penuntut Ijazah Doktor Falsafah Teknologi Pendidikan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kehilangan 55 orang ahli keluarga dalam sekelip mata selepas tentera udara Israel melancarkan serangan ke atas kem Jabalia, tempat keluarganya berlindung.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohammed Z. M. Qaddoura, 33, berkata, kejadian pembunuhan beramai-ramai itu berlaku pada Rabu minggu lalu, sebelum proses gencatan senjata dimulakan.
SEDIH
“Saya berasa sangat sedih dengan berita tersebut, tentera udara Israel menyerbu kem pelarian Jabalia dan mereka menyasarkan rumah dengan dua peluru berpandu, memusnahkan rumah tiga tingkat hingga ranap sama sekali,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, rejim Zionis dijangka menyerang rakyat Palestin di Gaza habis-habisan dengan membawa naratif menghapuskan Hamas secara keseluruhannya sebaik sahaja tempoh empat hari gencatan senjata tamat.
Bagaimanapun, berdasarkan perjanjian gencatan senjata dicapai antara Hamas dan rejim Zionis melalui negara perantara iaitu Qatar, Arab Saudi dan Amerika Syarikat (AS) tempoh jeda kemanusiaan tersebut mungkin akan berlanjutan sekurang-kurangnya dua hari lagi berbanding masa sebenar.
Mengulas berkenaan situasi genting di Gaza sekarang, Qaddoura berkata, dia tidak pasti apa yang bakal berlaku terhadap rakyat Gaza sekiranya gencatan senjata tidak diteruskan.
“Apa yang saya boleh katakan, Gaza sangat berada dalam keadaan kritikal dan memerlukan gencatan senjata dalam tempoh yang panjang,” katanya.
GENCATAN
Menurut beliau, gencatan senjata ini harus diteruskan bagi memberi ruang untuk penduduk Gaza menerima segala bantuan dari segi makanan, minuman dan rawatan.
Dalam pada itu, pelajar Sarjana Kejuruteraan Bioperubatan, Universiti Teknologi Mara (UTM), Kamal Ashour, 22, mengharapkan peperangan itu akan berakhir dengan segera.
“Kami di sini sentiasa berdoa agar pencerobohan ini berhenti hari ini dan bukannya esok kerana mereka adalah manusia seperti kita, tetakutan, kebimbangan dan perasaan yang sama seperti kita,” katanya.
Perang Hamas-Israel yang bermula 7 Oktober lalu dihentikan empat hari bermula Jumaat lalu selepas kedua-dua pihak mencapai kata sepakat untuk melakukan gencatan senjata bersyarat.
Antara syaratnya adalah, Hamas membebaskan 10 tebusan Israel setiap hari manakala rejim Zionis akan membebaskan 150 tahanan rakyat Palestin khususnya wanita dan kanak-kanak, selain menghentikan operasi ketenteraan di Gaza. – UTUSAN










