Bahasa Melayu di UNESCO

Bahasa Melayu di UNESCO

PERSIDANGAN Umum UNESCO kali ke-42 pada awal November mengakui peranan bahasa Indonesia yang penting di republik itu dalam menganjurkan dua nilai sejagat, iaitu solidariti dan keamanan. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DARI satu segi, kita harus berbangga bahawa bahasa Melayu telah diterima sebagai bahasa rasmi terbaharu di Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Sehubungan ini, terdapat sembilan bahasa lain iaitu Arab, Cina, Inggeris, Perancis, Hindi, Itali, Portugis, Russia dan Sepanyol yang diangkat sebagai bahasa yang boleh digunakan untuk perhubungan profesional, selain dalam mesyuarat UNESCO dengan iringan interpretasi lisan spontan dan terjemahan tulisan kemudian.

Dari segi lain, bahasa kesepuluh UNESCO itu adalah bahasa Indonesia.

Dengan ini, walaupun berasal daripada bahasa Melayu sebagai salasilahnya, bahasa Indonesia kini mahu dikenali oleh warga republik itu sebagai bahasa sempurna tersendiri yang tidak sama lagi dengan bahasa Melayu, baik yang ada di Indonesia sendiri, mahupun di rantau ini iaitu Malaysia, Singapura dan Brunei.

Oleh itu, ia bukan bahasa Melayu melainkan hanya mirip kepada bahasa Melayu dengan darjah saling kefahaman yang tinggi. Sehubungan pengiktirafan ini yang diberikan tanpa adanya sebarang perbahasan pun tentang usulan dari Indonesia, ia menunjukkan bahawa bahasa Indonesia didapati bukan sahaja sangat layak, juga sesuai sekali untuk diangkat sebagai tambahan baharu kepada senarai sedia ada.

Ini dilakukan kerana Persidangan Umum UNESCO kali ke-42 pada awal November mengakui peranan bahasa Indonesia yang penting di republik itu dalam menganjurkan dua nilai sejagat, iaitu solidariti dan keamanan. Dalam hal ini, bahasa Indonesia sebagai bahasa perhubungan utama tidak dapat dinafikan telah berjaya memupuk perpaduan nasional, iaitu hubungan antara sekitar 1,350 etnisiti peribumi berlainan yang menuturkan sejumlah 718 bahasa berbeza.

Selain ini, ia juga berjaya dalam integrasi nasional dalam pengertian bahasa Indonesia berhasil menghubungkan 275 juta penduduk Indonesia yang menjangkau sekitar 17,500 pulau. Kejayaan penyatuan linguistik yang luar biasa ini ikut mencetuskan fenomena ajaib, iaitu bukan sahaja setiap warga Indonesia memang cekap berbahasa negara, juga bangga sekali, sangat sayang dan amat setia kepada bahasa Indonesia.

Dengan ini, ia didapati mangkus sekali sebagai wadah utama untuk sistem pendidikan negara, urus tadbir pemerintah, ranah perdagangan dan perniagaan, kegiatan budaya khususnya yang tinggi serta alat komunikasi harian di seluruh republik itu.

Selain merupakan negara ketujuh terbesar di dunia dari segi jumlah penduduk, iaitu sekitar 3.52 peratus daripada penduduk seantero dunia, kejayaan bahasa Indonesia selaku bahasa negara dalam penyatuan pelbagai budaya untuk melahirkan negara bangsa yang bersatu padu didapati bukan sahaja berjaya menerusi proses asimilasi yang diangkat republik itu. Bahasa Indonesia juga didapati berhasil memupuk pemahaman mendalam terhadap warisan Indonesia dalam kalangan warga Indonesia.

ASIMILASI

Di persada antarabangsa, program pendidikan bahasa Indonesia di lebih daripada 50 negara di seluruh dunia yang dimulakan pemerintah secara serius pada 2015 telah berjaya menghasilkan sebanyak 150,000 warga dunia yang mempunyai pengetahuan bahasa Indonesia untuk berkomunikasi sesama mereka di peringkat antarabangsa.

Dengan ini, bahasa Indonesia sudah mencapai taraf bahasa antarabangsa.

Seterusnya Indonesia berhasrat untuk menjadikan bahasa Indonesia bahasa ketujuh di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2045 bersekali dengan bahasa Arab, Cina, Inggeris, Perancis, Russia dan Sepanyol. Dengan kejayaannya di UNESCO kini, peluangnya untuk dipilih sebagai tambahan kepada cara utama untuk komunikasi rasmi di PBB adalah sangat besar.

Sehubungan pengiktirafan linguistik ini, sebenarnya setiap negara anggota berhak memohon dengan mengemukakan usulan agar bahasanya ikut diberikan tempat. Untuk kes Indonesia, usulannya terus diterima tanpa soal. Ini memperlihat betapa terserlah dan ternyatanya kejayaan bahasa Indonesia di tanah watannya sendiri untuk bukan sahaja boleh diiktirafkan di peringkat global.

Lebih penting lagi ialah ia juga boleh dicontohi negara lain di dunia untuk memupuk identiti nasional bagi negara masing-masing dan identiti budaya bagi warganya sendiri. Sebenarnya perkara terpenting yang harus dipelajari di sini ialah kemampuan Indonesia mengurus kepelbagaian melalui asimilasi budaya yang sangat dikhuatiri sesetengah pihak kerana boleh menghilangkan identiti asal kelompok yang terlibat.

Sebaliknya kepelbagaian bahasa dan budaya masih berjaya dipelihara dengan utuhnya dalam kehidupan komuniti kelompok masing-masing apabila ia bukan sahaja dilindungi, malah ikut dilestarikan oleh pemerintah. Ini kerana bahasa Indonesia hanya berperanan dalam penyatuan pelbagai kelompok itu di peringkat negara dan dalam kehidupan nasional.

Sesungguhnya banyak yang harus dipelajari Malaysia daripada Indonesia dalam menguruskan perbezaan sosiobudaya melalui komitmen tegas dan konsisten pada proses integrasinya dalam penyatuan linguistik yang tidak berjaya itu.

Sehubungan ini, bahasa Melayu walaupun selaku bahasa negara didapati masih belum berjaya sebagai bahasa perpaduan seperti yang dihasratkan semenjak Penyata Pendidikan Razak 1956 lagi.

Dalam hal ini, dialog dan persefahaman untuk memupuk semangat toleransi tinggi dan penghormatan ikhlas selain kerjasama erat lagi utuh antara pelbagai etnisiti dan budaya di Indonesia harus kita ikuti. Ia harus berjaya dengan adanya kesamaan haluan kenegaraan di Malaysia dan Indonesia, iaitu Bersatu dalam Kepelbagaian. Hanya pendekatannya tidak sama. Untuk ini, integrasi di Malaysia boleh mula mencuba perisa asimilasi dahulu sebelum menerapkan rasa sebenarnya kemudian nanti. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×