PUTRAJAYA: Malaysia sedia menghantar pasukan sukarelawan ke Gaza, Palestin dalam tempoh gencatan senjata antara Israel-Hamas namun ia tertakluk kepada persetujuan antara negara-negara Arab dan sekitar Palestin.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, gencatan senjata selama empat hari bermula semalam amat melegakan penduduk,
Namun katanya, rakyat Palestin perlu berhati-hati kerana mereka berdepan rejim yang ganas dan keadaan itu amat membimbangkan.
“Cuma ia tertakluk kepada persetujuan kita dengan negara-negara Arab dan negara Islam terutama jiran di sekitar Palestin,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Furqan, Presint 11, di sini, semalam.
Semalam, selepas hampir tujuh minggu perang, Israel dan Hamas memulakan gencatan senjata selama empat hari dengan kumpulan pejuang Islam itu bersedia membebaskan 13 wanita dan kanak-kanak Israel.
Gencatan senjata sementara itu juga akan membolehkan bantuan memasuki wilayah Gaza yang terkepung.
Gencatan senjata bermula pukul 7 pagi (1 tengah hari waktu Malaysia), melibatkan gencatan senjata menyeluruh di utara dan selatan Gaza, dan akan diikuti dengan pembebasan beberapa daripada lebih 200 tebusan yang diambil oleh Hamas ketika serangan 7 Oktober lalu, kata pengantara di Qatar.
Sebilangan tahanan Palestin yang ditahan di penjara Israel juga akan dibebaskan sebagai pertukaran.
Dalam pada itu Anwar berkata, calon bagi jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup sudah diputuskan dan akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Ada…ada (nama pengganti sudah ada),” jawabnya ringkas ketika ditanya mengenai calon pengganti Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Ditanya mengenai kaji selildik Merdeka Center terhadap kerajaan pimpinan beliau, Anwar berkata, ia tidak mewakili suara keseluruhan 32 juta rakyat negara ini.
Perdana Menteri berkata, keputusan diperoleh menerusi laporan kaji selidik itu dibuat berdasarkan pandangan 1,200 responden.
“Kita dengar pandangan itu tetapi kita sepatutnya cuba menyantuni yang 32 juta orang rakyat Malaysia,” katanya.
Sebelum ini, laporan kaji selidik Merdeka Center mendedahkan prestasi Kerajaan Perpaduan di bawah pentadbiran Anwar merosot 41 peratus pada Oktober lalu.
Bagaimanapun, peratusan tersebut dilihat tinggi berbanding prestasi pentadbiran lalu melibatkan kerajaan gabungan Perikatan Nasional (PN)–Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 2018.
Dapatan hasil kaji selidik tersebut mendapati peratusan prestasi kerajaan PN-BN mencecah 31 peratus manakala pentadbiran PH dulu pada 30 peratus.
Dalam perkembangan sama, kaji selidik Merdeka Center itu turut mendedahkan 77.8 peratus responden berpandangan bahawa kebimbangan ekonomi merupakan masalah utama yang dihadapi oleh negara.
Sementara itu Anwar mengesahkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kini sudah pulang ke rumah dan sedang berehat selepas menjalani pembedahan baru-baru ini.
“Dia di rumah sekarang,” jawabnya selepas ditanya wartawan sama ada beliau merancang untuk menziarahi Ahmad Zahid dalam masa terdekat.
Media sebelum ini melaporkan, Ahmad Zahid kini dalam tempoh berehat selepas menjalani pembedahan baru-baru ini. – UTUSAN
habis
Anwar Ibrahim mengaminkan bacaan doa pada Majlis Kesyukuran Setahun Pentadbiran Perdana Menteri dan Kerajaan Madani di Dewan Seri Siantan, Putrajaya, semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA










