Penyertaan tenaga buruh S3 tertinggi 70.1 peratus

Penyertaan tenaga buruh S3 tertinggi 70.1 peratus

Bilangan penduduk bekerja terus meningkat didorOng oleh pertumbuhan ekonomi. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasaran buruh negara terus berkembang pada suku ketiga (S3) 2023, mencatatkan kadar penyertaan tenaga buruh tertinggi pada 70.1 peratus, menurut Sorotan Pasaran Buruh Suku Ketiga 2023, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, kenaikan permintaan buruh didorong oleh industri yang dipengaruhi oleh peningkatan guna tenaga.

Peningkatan guna tenaga disumbangkan oleh perkembangan dalam pasaran domestik, seterusnya membawa kepada situasi pengangguran yang lebih baik, kata beliau.

Katanya, di sebalik ketidaktentuan landskap ekonomi global, ekonomi Malaysia berkembang 3.3 peratus S3 2023, setelah mencatatkan pertumbuhan 2.9 peratus suku sebelumnya.

“Selaras pertumbuhan ekonomi, penawaran buruh kekal kukuh apabila kadar penyertaan tenaga buruh meningkat 0.7 mata peratus tahun ke tahun kepada 70.1 peratus.

“Bilangan tenaga buruh meningkat 2.3 peratus untuk merekodkan 16.82 juta orang, terutama disumbangkan oleh kenaikan 2.7 peratus dalam penduduk bekerja merangkumi 16.25 juta orang S3 2023 (S3 2022: 15.83 juta).

“Pada masa yang sama, bilangan penganggur berkurang 6.3 peratus kepada 573,100 orang (S3 2022: 611,800), mencatatkan kadar pengangguran negara pada 3.4 peratus, dilihat secara beransur-ansur kembali ke tahap pra pandemik (S3 2022: 3.7 peratus; S4 2019: 3.2 peratus),” katanya dalam kenyataan.

Melihat kepada situasi guna tenaga tidak penuh, beliau berkata, bilangan penduduk bekerja kurang daripada 30 jam seminggu mencatatkan penurunan marginal 0.8 peratus berbanding suku sama pada 2022, dengan jumlah 284,800 orang.

Menurutnya, bilangan guna tenaga tidak penuh berkaitan masa meningkat 1.2 peratus kepada 189,000 orang tetapi mengekalkan kadar pada 1.2 peratus.

“Pada masa yang sama, guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran yang merujuk kepada mereka berpendidikan tertiari tetapi bekerja dalam kategori pekerjaan separuh mahir dan berkemahiran rendah, meningkat sebanyak 4.5 peratus tahun ke tahun.

“Ini merekodkan 1.92 juta orang dengan kadar 37.3 peratus atau terdiri daripada lebih satu pertiga penduduk bekerja dengan pendidikan tertiari,” ujarnya.

Mengulas situasi permintaan buruh pada S3 2023, Mohd. Uzir memberitahu, jawatan dalam sektor ekonomi meningkat sebanyak 2.6 peratus kepada 8.90 juta jawatan (S3 2022: 8.68 juta).

Jelasnya, jawatan diisi merangkumi 97.9 peratus daripada jumlah jawatan meningkat sebanyak 2.7 peratus kepada 8.71 juta, manakala peluang pekerjaan dalam ekonomi ditunjukkan oleh bilangan kekosongan jawatan yang menyumbang 2.1 peratus daripada jawatan, menurun sedikit 0.2 peratus kepada 190.9 ribu kekosongan.

“Lebih separuh daripada kekosongan pada suku ketiga adalah dalam sektor pembuatan, yang menyumbang 107,900 kekosongan, sebahagian besarnya dalam subsektor produk elektrik, elektronik dan optik yang merekodkan 33,800 kekosongan jawatan.

“Situasi permintaan buruh yang stabil pada suku tersebut juga ditunjukkan oleh peningkatan 4.8 peratus bagi bilangan pewujudan jawatan untuk memenuhi keperluan industri, merangkumi 32,000,” tambahnya.

Mohd. Uzir berkata, pasaran buruh Malaysia menunjukkan prospek yang memberangsangkan sepanjang suku ketiga yang patut diberi perhatian di sebalik ketidaktentuan ekonomi global.

“Menuju ke suku akhir 2023, prospek kekal optimistik memandangkan Indeks Pelopor Malaysia yang terkini menjangkakan ekonomi Malaysia akan terus menyederhana, disebabkan oleh cabaran-cabaran ini, walaupun permintaan domestik yang kukuh,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×