PUTRAJAYA: Kelantan berisiko berdepan bencana besar seperti banjir lebih teruk jika cadangan ubah suai Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) di negeri itu diteruskan membabitkan keluasan 514,898 hektar.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Kelantan ketika ini pun sudah berdepan dengan isu banjir yang berlaku setiap tahun.

Menurutnya, kawasan hutan mempunyai peranan besar untuk mengawal aliran air selain melengkapi ekosistem yang sedia wujud secara semulajadi.
“Jika hutan tidak dikawal dengan baik, kita bimbang ia meningkatkan risiko berlakunya banjir selain menjejaskan kualiti air sungai.
“Kelantan berdepan masalah kualiti bekalan air tidak memuaskan dan kita tahu julukan diberi terhadap keadaan Sungai Kelantan,” katanya ketika ditemui di pejabat beliau di sini.
Terdahulu, Kerajaan Negeri Kelantan dilapor bercadang memutuskan supaya Kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK), kecuali kawasan punca air atau tadahan air, tidak lagi diklasifikasikan sebagai KSAS di Kelantan.
Pihak kerajaan negeri namun mendakwa masih lagi mengekalkan keluasan HSK seluas 629,880 hektar dan hanya mengeluarkan 514,898 hektar daripada kawasan yang ditakrifkan KSAS.
Selain itu, menurut kerajaan negeri, kawasan punca dan tadahan air seluas 114,982 hektar juga masih dikekalkan selain turut mengambil kira Hutan Taman Hidupan Liar yang berada di luar HSK seluas 80,377 hektar dan Hutan Tanah Kerajaan seluas 57,071 hektar bagi memastikan 50 peratus keluasan tanah berhutan tercapai.
Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) sebelum ini secara dasarnya membantah keputusan Kerajaan Negeri Kelantan itu untuk melaksanakan cadangan pengubahsuaian KSAS itu.
Pengeluaran daripada jumlah KSAS sedia ada dari Jajahan Jeli dan Gua Musang adalah hampir 88 peratus dan ini akan menjejaskan rangkaian ekologi Central Forest Spine serta keseimbangan ekosistem di negeri itu kerana kawasan tersebut merupakan KSAS Tahap 1 yang merangkumi Kawasan Perlindungan sedia ada.
Kata Nik Nazmi, impak terhadap cadangan pengubahsuaian KSAS ini boleh menjejaskan pencapaian sasaran di bawah Rancangan Fizikal Negara (RFN) untuk mencapai 50 peratus kawasan tanah berhutan di Semenanjung Malaysia menjelang 2040.
Ini termasuk kehilangan populasi Harimau Malaya dan lain-lain spesies di Kelantan akan terjejas disebabkan oleh kehilangan habitat haiwan itu.
Dalam pada itu, katanya, beliau pernah berkunjung ke Gua Musang baru-baru ini, malah sempat melihat sendiri keadaan alam sekitar di daerah itu.
Beliau dimaklumkan bahawa cadangan KSAS itu tidak mengganggu kawasan tadahan air, namun kawasan bukit bukau secara semulajadinya adalah kawasan tadahan air.
Menurut beliau, aliran dan pergerakan air bermula di hutan belantara dan jika kawasan itu diganggu dikhuatiri ekosistem sedia ada tidak mampu mengimbangi aliran air tersebut dan impak penebangan hutan tidak terkawal hasil daripada pengubahsuaian KSAS juga menyumbang kepada masalah banjir.
“Kalau ada pokok ia akan menyerap air dan memperlahan aliran air, malah boleh bertindak sebagai penapis air sebelum tiba di sungai,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Nik Nazmi berkata, beliau dijangka mengadakan pertemuan dengan Kerajaan Negeri Kelantan selepas pulang menghadiri konvensyen Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2022 (COP28), di Dubai yang dijadual akhir bulan ini.
“Setakat ini belum ada pertemuan tetapi kita sedang merancang untuk mencari tarikh sesuai. Insya-Allah kita akan bertemu dan saya tiada masalah mengenai perkara itu.
“Kita akan bincang isu itu dan pada masa sama memahami kerangka perundangan yang dimiliki oleh kerajaan negeri,” katanya. – UTUSAN










