PETALING JAYA: Inflasi Malaysia pada Oktober 2023 meningkat 1.8 peratus, terendah sejak April 2021, dengan mata indeks mencatatkan 130.9 berbanding 128.6 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan inflasi didorong oleh kenaikan lebih rendah bagi kumpulan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol sebanyak 3.6 peratus (September 2023: 3.9 peratus), diikuti peningkatan perlahan kumpulan Hiasan, Perkakasan dan Penyelenggaraan Isi Rumah (1.4 peratus/September 2023: 1.5 peratus) dan Pelbagai Barangan dan Perkhidmatan (2.3 peratus/September 2023: 2.5 peratus).
Sementara itu, kata beliau, antara kumpulan utama lain yang menyumbang kepada peningkatan lebih rendah inflasi berbanding September 2023 adalah kumpulan Minuman Alkohol dan Tembakau (0.6 peratus/September 2023: 0.7 peratus) dan Pakaian dan Kasut (0.0 peratus/September 2023: 0.1 peratus).
“Kumpulan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol yang menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran Indeks Harga Pengguna (IHP) telah merekodkan peningkatan sederhana iaitu 3.6 peratus. Komponen Makanan di rumah meningkat 2.1 peratus berbanding 2.5 peratus yang direkodkan bulan sebelumnya.
“Kenaikan komponen Makanan di rumah adalah didorong terutamanya oleh subkumpulan Beras, roti dan bijirin lain (3.6 peratus/September 2023: 4.1 peratus).
“Ini diikuti oleh subkumpulan Susu, keju dan telur dan Daging masing-masing meningkat 3.1 peratus dan 2.1 peratus. Sementara itu, komponen Makanan di luar rumah meningkat perlahan kepada 5.6 peratus berbanding 5.9 peratus yang direkodkan pada September 2023. Antara item yang menunjukkan peningkatan lebih perlahan adalah Burger, Ayam goreng dan Murtabak,” kata beliau dalam kenyataan sempena IHP Oktober 2023.
Mohd. Uzir berkata, inflasi keseluruhan secara bulanan pada Oktober 2023 meningkat 0.1 peratus disumbangkan oleh peningkatan kumpulan Restoran dan Hotel (0.5 peratus), Pengangkutan (0.2 peratus) dan Kesihatan (0.2 peratus).
Sementara itu, inflasi teras meningkat perlahan pada 2.4 peratus (September 2023: 2.5 peratus), namun masih melepasi kadar inflasi negara (1.8 peratus). Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh inflasi Makanan dan Minuman Bukan Alkohol (4.8 peratus).
“Bagi perbandingan dengan negara-negara terpilih, inflasi di Malaysia (1.8 peratus) adalah lebih rendah berbanding Filipina (4.9 peratus), Republik Korea (3.8 peratus), Vietnam (3.6 peratus) dan Indonesia (2.6 peratus). Namun, kadar tersebut lebih tinggi berbanding China (-0.2 peratus) dan Thailand (-0.3 peratus),” katanya.
Mohd. Uzir berkata, peningkatan inflasi subkumpulan Beras, roti dan bijirin lain sebanyak 3.6 peratus pada Oktober 2023 disumbangkan oleh kenaikan kelas perbelanjaan Beras sebanyak 5.3 peratus (September 2023: 5.0 peratus).
Beliau berkata, inflasi subkumpulan Susu, keju dan telur meningkat perlahan kepada 3.1 peratus pada bulan Oktober 2023 (September 2023: 3.4 peratus) dan ini didorong oleh kelas perbelanjaan Susu tepung dan keluaran susu lain yang mencatatkan kenaikan sebanyak 4.0 peratus (September 2023: 4.1 peratus).
Katanya, inflasi Pengangkutan tidak mencatatkan sebarang peningkatan pada bulan Oktober 2023 (September 2023: -0.1 peratus). Ia disumbangkan oleh harga petrol RON97 yang ditetapkan pada Oktober 2023 adalah lebih rendah iaitu RM3.47 seliter berbanding RM3.96 seliter pada Oktober 2022 (September 2023: RM3.40 seliter).
Menurut Mohd. Uzir, kebanyakan negeri merekodkan peningkatan inflasi di bawah paras nasional 1.8 peratus. Walau bagaimanapun, empat negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.7 peratus), Sarawak (2.5 peratus), Perak (2.2 peratus) dan Selangor (1.9 peratus).
Katanya, kesemua negeri mencatatkan peningkatan inflasi Makanan dan Minuman Bukan Alkohol. Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Wilayah Persekutuan Putrajaya (5.2 peratus), diikuti Sarawak (4.8 peratus), Selangor (4.7 peratus), Pulau Pinang (4.5 peratus), Melaka (3.7 peratus) dan Wilayah Persekutuan Labuan (3.6 peatus).
“Sementara itu, negeri-negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah paras inflasi Makanan dan Minuman Bukan Alkohol nasional iaitu 3.6 peratus pada Oktober 2023,” katanya.











