KUALA LUMPUR: Sistem pangkalan data bersepadu perlu diwujudkan bagi membolehkan pihak berkuasa mengetahui latar belakang sesuatu kawasan dibangunkan yang dahulunya merupakan kawasan markas tentera atau berlaku konflik peperangan.
Pangkalan data berkenaan berfungsi untuk menyatukan semua maklumat di seluruh negara dan menganalisis kawasan yang boleh dimanfaatkan semua pihak termasuk pemaju yang membangunkan kawasan instalasi tentera lama, tapak pertempuran dan pengeboman.
Ketua Penyelidik, Muzium Tentera Darat, Leftenan Kolonel Muhammad Zuraiman Abd. Ghani berkata, penyediaan rangkaian itu yang difahamkan masih belum ada antara lain memudahkan pihak berkuasa khususnya Unit Pemusnah Bom (UPB) Polis Diraja Malaysia (PDRM) menganalisis dan memusnahkan bom-bom lama peninggalan zaman Perang Dunia Kedua.
“Isu tentang orang awam menemukan bom-bom lama tidak habis-habis. Setiap bulan boleh katakan ada sahaja bom lama yang ditemukan. Inilah sebabnya kita perlu ada pangkalan data yang berfungsi menganalisis kawasan mana yang cenderung berlaku penemuan.
“Dengan sistem ini, lagi mudah untuk polis mencarinya. Sesiapa sahaja yang membangunkan sesuatu kawasan atau orang awam, mereka akan merujuk kepada pangkalan data ini dan tahu bahawa di kawasan tertentu barang kali ada bom-bom lama yang masih aktif atau tidak,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau mengulas laporan akhbar ini iaitu lima negeri iaitu Johor, Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Sabah berisiko tinggi berlaku ‘ledakan bom luar jangka’ kerana mencatatkan banyak penemuan bom-bom lama dipercayai peninggalan zaman Perang Dunia Kedua.
Pusat Data Bom Malaysia (MBDC), Cawangan Persenjataan Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 1,445 kes penemuan dan 2,568 butir bom tinggalan zaman perang atau Unexplode Explosive Ordnance (UXO) yang telah dimusnahkan oleh Unit Pemusnah Bom (UPB) sejak tahun 2016 sehingga setakat Januari tahun ini.
Dalam pada itu, ditanya sama ada terdapat keperluan untuk menubuhkan jawatankuasa terdiri daripada pelbagai pakar dalam misi mencari bom-bom lama berkenaan, katanya kerajaan sudah mempunyai mekanisme sedia ada dalam mengendalikan kes berkenaan melibatkan PDRM sebagai barisan pertama dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai benteng pertahanan kedua.
Bagaimanapun, menurutnya, jika terdapat kawasan yang terlibat sebagai zon konflik peperangan yang ingin dibangunkan, laporan daripada penilaian Kesan alam sekitar terperinci (DEIA) seharusnya turut mengandungi laporan daripada pakar pemusnahan ordnan letupan atau Explosive Ordnance Disposal (EOD) sama ada pakar agensi atau konsultan EOD. Dalam keadaan tertentu, ahli arkeologi tentera boleh dilibatkan.
“Pun begitu, daripada menubuhkan jawatan kuasa ini, lebih baik wujudkan data demografi pelbagai data penemuan semasa dan data arkib melibatkan operasi ketenteraan dan pasukan keselamatan dari Perang Dunia Kedua sehingga sekarang.
“Setiap tempat yang mempunyai risiko, kalau mahu membuat pembangunan, kita mesti panggil semua pihak berkaitan seperti polis, pemaju, lembaga pengarah, konsultan dan sebagainya untuk memastikan mereka selamat menjalankan kerja mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE











