UMNO mahu fokus perkukuh ‘kapal’ sendiri - Utusan Malaysia

UMNO mahu fokus perkukuh ‘kapal’ sendiri

SHAHRIL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hala tuju UMNO pada waktu ini adalah jelas iaitu memperkukuhkan ‘kapal’ sendiri selain belum mempertimbangkan sebarang bentuk kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Penerangannya, Shahril Sufian Hamdan berkata, parti itu kini selesa untuk bergerak sendiri selain mempunyai rangkaian kerjasama rasmi politik bersama Pas dalam Muafakat Nasional (MN).

“Jika UMNO boleh memenangi hati dan keyakinan rakyat iaitu diterjemahkan dengan banyak kerusi kelak, barulah mudah bagi pihak kami untuk berbincang mengenai kerjasama dengan mana-mana pihak yang boleh bersama ke arah ke­sejahteraan negara.

“Jadi, UMNO sedang si­buk memikirkan ke arah pe­merkasaan ‘kapal’ sendiri, katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Semalam, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang akhbar berkata, PH telah memulakan proses rundingan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

PH turut mengambil kira kerusi untuk parti-parti sekutu lain selain tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan UMNO.

Sidang media berkenaan diadakan sempena pelancaran inisiatif baharu PKR bagi membantu wanita yang berdepan masalah sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa semalam.

Bahkan, UMNO pada minggu lalu turut menyatakan keputusan untuk tidak meneruskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRU akan datang.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Yakub Khan berkata, kenyataan berhubung kemungkinan PKR be­kerjasama dengan UMNO dikeluarkan oleh pihak Anwar sendiri, bukan pihak UMNO.

Katanya, Majlis Tertinggi UMNO sendiri tidak memberi kata putus tentang kesahihan maklumat yang dikeluarkan oleh Anwar.

“Setakat ini juga belum ada usaha ke arah itu iaitu kerjasama UMNO dengan PH.
Beliau berkata, lebih baik hal ini diserahkan kepada presiden dan majlis tertinggi parti kerana keputusan itu bukan hanya keputusan individu tertentu.

“Jika ada keperluan ke arah itu, biarlah Majlis Tertinggi UMNO yang putuskan,” kata­nya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×