PETALING JAYA: Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus merupakan satu lagi petanda bahawa ekonomi negara sudah mula menunjukkan potensi ke arah pemulihan.
Menurut Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff, ia disokong oleh keputusan kerajaan untuk melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membolehkan lebih banyak sektor ekonomi dibuka dan penduduk boleh merentas daerah untuk melakukan pelbagai aktiviti.
Malah katanya, laporan terkini Agensi Pelaksana dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) juga menunjukkan bahawa sebahagian besar suntikan fiskal secara langsung seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Program Subsidi Upah (PSU) dan geran perusahaan kecil dan sedarhana (PKS) telah berjaya memenuhi sasaran dan memberi impak yang positif kepada isi rumah dan peniaga.
“Ditambah lagi dengan pelaksanaan Program Imunisasi Kebangsaan yang bakal melandaikan keluk jangkitan Covid-19, sekali gus meningkatkan keyakinan peniaga serta pelabur dalam dan luar negara.
“Semua ini memberi keyakinan kepada BNM untuk mengekalkan kadar OPR pada 1.75 peratus,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM pada Khamis lalu mengekalkan kadar OPR 1.75 peratus, pengekalan kali kedua untuk tahun ini.
Kali terakhir BNM menurunkan kadar OPR ialah pada 7 Julai 2020 sebanyak 0.25 mata asas kepada 1.75 peratus, terendah sejak 2004, bagi memberi rangsangan untuk mempercepat pemulihan ekonomi yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Menurut BNM, risiko terhadap prospek pertumbuhan telah sedikit berkurangan namun ia terus cenderung ke arah pertumbuhan menjadi lebih perlahan disebabkan ketidakpastian berhubung pandemik Covid-19 dan keberkesanan program vaksinasi.
Sepanjang tahun lalu, BNM menurunkan OPR sebanyak empat kali iaitu pada 22 Januari (0.25 mata asas kepada 2.75 peratus) diikuti 3 Mac (0.25 mata kepada 2.50 peratus), 5 Mei (0.5 mata asas kepada 2.00 peratus) dan 7 Julai (0.25 mata asas kepada 1.75 peratus).
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid menjelaskan, BNM mempunyai asas untuk mengekalkan OPR berdasarkan petunjuk-petunjuk positif daripada kenaikan jumlah eksport dan juga peningkatan indeks harga pengguna (IHP).
Ujarnya, kadar eksport terus meningkat untuk lima bulan berturut-turut, termasuk kenaikan besar sebanyak 38 peratus pada Januari lalu, malah kadar import turut berkembang 1.3 peratus kepada RM73 bilion pada bulan sama.
“Kombinasi data import dan eksport negara yang terkini telah mempengaruhi BNM untuk mengekalkan kadar OPR tersebut. Kita harapkan program vaksinasi nasional untuk mengekang pandemik Covid-19 akan terus memberikan momentum positif kepada ekonomi negara.
“Ini kerana, penurunan kes harian mungkin membenarkan aktiviti rentas negeri dilakukan seterusnya memberikan impak positif kepada industri pelancongan tempatan.
“Namun BNM masih ada ruang untuk menurunkan kadar OPR sekiranya perlu berdasarkan data yang mendatang. Secara ringkasnya, kadar OPR sekarang cukup untuk menyokong pemulihan ekonomi negara, namun pastinya BNM akan menggunakan dasar monetari ini mengikut suasana atau petunjuk data terkini,” jelasnya. – UTUSAN










