Kemudahan sukan 'bar' di fasiliti taman awam - Utusan Malaysia

Kemudahan sukan ‘bar’ di fasiliti taman awam

'Back lever' antara jenis sukan 'bar' yang sukar dilakukan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERMODALKAN’ palang dan tiang besi, sekumpulan anak muda ini tampak begitu ‘ringan’ mengangkat badan sendiri.

Memuatkan artikel berkaitan…

Berpusing pada palang, pegun di udara, menggenggam kuat palang dan tiang besi pada kedudukan menegak, seolah-olah melawan graviti.

Aksi anak muda dalam sukan Kalistenik atau sukan bar ini tampak bersahaja namun tidak semudah disangka.

Keberanian Syauqi Annas Farhan Sulaiman, 20, dalam melantunkan badan dari ketinggian dua meter palang besi tanpa tali keselamatan lalu berpusing 360 darjah dengan pelbagai gaya, membuat mata saya tidak terkebil. Kagum melihat kebolehan ditonjolkan.

Anak ketiga daripada empat adik-beradik ini memberitahu penglibatannya dalam sukan itu bermula ketika berusia 17 tahun dan kini semakin serius dalam sukan ini selepas melihat beberapa kalangan remaja telah menjuarai kejayaan suka itu di persada dunia.

“Awalnya saya sekadar berjogging di taman perumahan dan di satu lokasi terdapat sekumpulan remaja sedang melakukan aksi sukan Kalistenik. Satu hari saya dekati mereka, menyuarakan keinginan untuk turut serta dan belajar.

“Lama-kelamaan tanpa disedari sudah empat tahun saya aktif bermain bar. Ada masanya turun naik semangat tetapi tidak patah semangat sebab adanya sokongan baik daripada keluarga dan kawan-kawan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

MENANG

Dikenali sebagai sukan jalanan atau street workout, sejarah sukan ini berasal dari negara pelopor sukan Olimpik, Greece, ia lebih dikenali sebagai Sukan Kalistenik sejak abad ke 19 dan mula mendapat tempat di hati anak muda Malaysia sekitar tahun 2013.

Syauqi Annas (kanan) raih naib juara dalam Streetworkout Challenge Selangor Youth Republic pada November 2019.

Meskipun sukan ini tidak begitu popular berbanding sukan lain, namun negara mempunyai wakil mengharumkan nama negara. Antaranya Engku Mohamad Ikhwan, Zulhilmi Nadzeri, Zulfadli Nadzeri, Shahrul Aizat Jasri dan Sheikh Amirul Adli.

Syauqi Annas memberitahu, sepanjang menyertai sukan ekstrem itu, beliau menyertai tiga pertandingan dan pernah mendapat tempat ketiga dan kedua bagi kategori gaya bebas.

Pergerakan sukan ini dilakukan seakan-akan gimnastik tanpa penggunaan peralatan sukan dan dapat memberikan kekuatan otot pada tubuh badan.

TAPAK KHUSUS PERLU BAGI ELAK KECEDERAAN

Terjatuh dan luka pada anggota badannya, ibarat isi dengan kuku.

Namun Syauqi Annas menggunakan tilam sebagai ganti alas pelapik bagi mengelakkan kecederaan teruk sekiranya terjatuh.

Syauqi yang berkhidmat di sektor pemasaran, memberitahu dia melakukan latihan pada masa terluang atau selepas tamat waktu kerja.

Menyentuh soal fasiliti, biarpun fasiliti tersedia dimanfaat sebaik-baiknya namun Syauqi berharap agar pihak Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBSM) dapat menyediakan tapak khusus kepada peminat sukan itu.

“Sebelum ini ada juga pegawai penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) datang tegur supaya kami jaga persekitaran taman awam dengan baik. Ekoran teguran itu, saya mewakili mereka yang terbabit dalam sukan ini agar pihak berkaitan dapat berikan tempat latihan yang lebih sesuai,” katanya meluah pandangan.

Anak muda penuh semangat ini menyimpan hasrat menjuarai sukan ini di peringkat dunia suatu masa nanti.

 

Antara pergerakan statik plench iaitu cubaan menyeimbangkan badan. – UTUSAN/ZULQARNAIN ABU HASSAN

SEDIA LOKASI SESUAI

Sebagaimana Syauqi, Guru Pendidikan Jasmani Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Ampang, Nik Amirul Asyraf, 27, berharap, ada persatuan atau agensi memberikan dana atau tajaan supaya dapat mewujudkan tempat khas.

NIK AMIRUL ASYRAF

Beliau yang sebelum ini aktif dalam sukan itu memberitahu, penyertaan dalam mana-mana sukan, tidak boleh mengetepikan aspek keselamatan.

“Kalau bersukan tanpa dilengkapi peralatan keselamatan, dikhuatiri boleh mengundang kecederaan tidak diingini. Sebab mereka akan buat gerakan di atas palang, menjulang kaki ke atas dan kepala ke bawah.

“Saya kira tilam nipis tidak menjamin kalau jatuh di atasnya tetap sakit. Justeru, diharapkan semoga ada pihak yang dapat memberikan sumbangan kepada peminat sukan ini dalam menyediakan lokasi latihan sesuai,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN