Rakyat anggap mereka dipermainkan oleh orang politik - Utusan Malaysia

Rakyat anggap mereka dipermainkan oleh orang politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenyataan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam yang kecewa dengan tindakan pemimpin politik ketika ini seolah-olah ‘main masak-masak’ mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk netizen dalam media sosial.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr. Jeniri Amir berpandangan, rakyat sudah muak dengan sikap ahli politik yang sibuk bermain nombor majoriti kerusi di Parlimen dan melompat parti sesuka hati mereka sehingga membelakangkan keputusan pilihan raya.

Beliau juga berpendapat, tidak ada guna pilihan raya diadakan pada masa akan datang jika ahli politik bertindak melompat parti selepas itu.

“Adakah ahli politik ini hanya mementingkan tembolok, perut mereka, jawatan dan kepentingan peribadi? Ini masalah besar kerana apabila diumpan dengan ‘ganjaran’, mereka akan lompat parti tanpa melihat kesannya, rakyat akan hilang kepercayaan.

“Bayangkan, parti Warisan yang mempunyai majoriti besar dalam kerajaan negeri Sabah pun boleh tumbang, inikan pula majoriti kecil. Tapi rakyat akan rasa mereka dipermainkan dan tidak mahu turun mengundi lagi pada pilihan raya akan datang. Sampai bila perkara ini akan berterusan?” soalnya.

Geostrategis, Prof. Dr. Azmi Hassan pula menyifatkan ahli politik negara gagal mengamalkan politik matang.

“Apabila ahli politik berhujah dan melakukan sesuatu, ia tidak berlandaskan kepada fakta dan kepentingan negara. Kematangan dan kebijaksana­an dipersoalkan, bukan sahaja ahli politik baharu tetapi juga yang sudah lama berkecimpung sehingga dua ke tiga dekad, ketidakcerdikan mereka itu amat ketara,” katanya.

Pada masa sama, walaupun Azmi berpendapat tindakan lompat parti harus disekat, beliau menganggap akta dana politik lebih penting untuk digubal.

“Pertukaran parti kerana kepentingan sesuatu itu memang patut disekat tetapi apa yang lebih penting apabila ketiadaan akta dana politik membolehkan parti menerima dana daripada sumber mana, ba­nyak mana tanpa dipersoal, ia boleh disalurkan untuk tujuan ter­tentu, tetapi paling bahaya dana dari luar negara.

“Pengundi tidak boleh lagi menerima ahli politik sedemikian. Hukum mereka yang sentiasa bertukar parti demi memenuhi agenda politik ma­sing-masing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×