KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen dan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dikatakan telah menandatangani satu Akuan Bersumpah (SD) bagi mengikat wakil rakyat parti itu supaya kekal setia serta tidak mengambil langkah bertentangan dengan perlembagaan parti.
Sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, SD berkenaan ditandatangani sewaktu pemukiman yang diadakan minggu lalu, tetapi tidak dijelaskan lokasinya.
“Ada yang hubungi saya, ada tak saya dipanggil untuk tandatangan SD? Saya kata kenapa? Kemudian dia kata, dia sudah dipanggil untuk tandatangan SD.
“Katanya ada retreat minggu lepas, waktu itu mereka semua tandatangan SD. Mereka ada retreat pun kita tidak tahu kan? Semua dibuat secara sembunyi,” katanya.
Menurut sumber itu, tindakan berkenaan adalah susulan daripada kejadian empat ahli Parlimen yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali gus tindakan menggantung keahlian telah dikenakan terhadap mereka selama enam tahun.
Empat ahli Parlimen berkenaan ialah Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abd Rahman (Labuan).
Dakwa sumber, jika ada mana-mana wakil rakyat yang mengambil tindakan bertentangan dengan parti, wakil rakyat tersebut perlu membayar RM10 juta kepada parti.
“Perkara itu pun sebelum ini pernah dikenakan kepada bekas pemimpin PKR, Zuraida Kamaruddin yang mana mahkamah memutuskan beliau perlu membayar RM10 juta kepada parti kerana melanggar syarat bon yang mengikatnya kepada parti,” ujarnya.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Naib Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yakin episod ahli Parlimen memberi sokongan kepada Perdana Menteri telah tamat.
Ini kerana jelasnya, beberapa langkah komprehensif diambil bagi mengekang perkara itu berlaku, antaranya mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan beberapa wakil rakyat bersama pihak kepemimpinan tertinggi.
Akhbar ini turut mendapatkan pengesahan daripada Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berhubung perkara berkenaan, namun beliau menafikan perkara tersebut.
“Tidak betul, kami dah ada akujanji sebelum pilihan raya umum,” katanya ringkas. – UTUSAN










