Mahkamah tentukan kerusi ahli parlimen dipecat parti

Mahkamah tentukan kerusi ahli parlimen dipecat parti

DATUK DR. WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kedudukan seseorang ahli parlimen atau ahli dewan undangan negeri (ADUN) sama ada boleh dilucutkan atau sebaliknya perlu ditentukan mahkamah sekiranya dipecat daripada parti masing-masing.

Itu antara cadangan yang boleh dilaksanakan kerajaan berhubung kewajaran kehilangan kerusi apabila mereka dikenakan tindakan oleh parti kerana menyokong Perdana Menteri.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar Perlembagaan, Datuk Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, pindaan Perlembagaan perlu jika mahu menghukum mana-mana wakil rakyat dengan melucutkan keanggotaan sebagai ahli parlimen dan Dewan Undangan Negeri jika dipecat parti.

“Badan kehakiman perlu menentukan kewajaran pelucutan keanggotaan ahli parlimen atau ADUN.
“Hal ini supaya ia tidak di­salah guna oleh mana-mana kepimpinan parti untuk memecat ahli parlimen semata-mata tidak sehaluan dengan ke­pimpinan semasa parti.

“Ini kerana boleh berlaku pendirian berbeza akibat suatu dasar kerajaan dengan pendirian parti. Ahli parlimen bukan hanya ahli parti, tetapi mempunyai tanggungjawab di sisi Perlembagaan dan penduduk kawasannya. Mereka tertakluk kepada sumpah jawatan di bawah Jadual Keenam Artikel 59 (1) Perlembagaan Persekutuan,” kata beliau semalam.

Wan Ahmad Fauzi berkata, tidak ada sebab untuk meng­anggap mana-mana ahli parlimen atau ADUN bersalah atas tindakannya menyokong kerajaan selagi ia tidak bercanggah dengan Perlembagaan dan kepentingan rakyat.

SISTEM

Apatah lagi, katanya, kerajaan yang mentadbir negara adalah sebahagian daripada sistem Perlembagaan dan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong,­ iaitu kerajaan Agong dan bukannya kerajaan seorang presiden parti politik.

“Seorang yang meletakkan­ kepentingan rakyat dan meng­ambil pendirian selari dengan Perlembagaan tidak wajar dilucut sebagai ahli Parlimen.

“Apa yang membezakan ialah dalam proses undi kepercayaan kepada seorang Perdana Menteri, itu lebih bersifat kepartian dan pendirian parti perlu diberi keutamaan,” katanya.
Sebelum ini, empat ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri.

Ia selepas Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd. Azizi Abu Naim; Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman serta terbaharu Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik turut berbuat demikian.

Selain empat nama ber­kenaan, bebe­rapa nama lain didakwa hanya me­nunggu masa sesuai untuk menyokong Keraja­an Perpaduan sekali gus memberi tampa­ran kepada parti tersebut dan ada yang menyifatkannya sebagai karma ekoran tindakan mereka me­numbangkan kerajaan Pakatan Harapan melalui Langkah She­raton pada Februari 2020.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×