KUALA TERENGGANU: Penerbitan jurnal tempatan dan ilmiah perlu lebih dimartabatkan dalam kalangan ahli akademik kerana penarafannya lebih signifikan berbanding mengejar ranking universiti yang selama ini ‘dipandang tinggi’.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Akademi Pengajian Bahasa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Terengganu, Prof. Dr. Azman Che Mat berkata, isu ranking antara universiti bukan perkara baharu dalam perbincangan pentadbir universiti dan tokoh-tokoh akademik di Malaysia kerana salah satu kriteria utamanya adalah penerbitan artikel berindeks di jurnal-jurnal yang dikategorikan sebagai jurnal perdana.
Katanya, kebimbangan yang timbul adalah peruntukan masa dan tenaga dalam kalangan ahli akademik serta kos kewangan yang perlu dikeluarkan institusi pendidikan untuk mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) tahunan dengan penerbitan artikel di jurnal-jurnal perdana.
“Hal ini sudah tentu memberi kesan kepada aspek tugas utama lain di universiti, iaitu syarahan dalam bilik-bilik kuliah dan penyeliaan. Ditambah syarat-syarat yang ketat dikenakan kepada penulis artikel agar akur dengan gaya penulisan jurnal berkenaan.
“Usaha ini memerlukan banyak masa dan tenaga dicurahkan walaupun kebiasaannya, penerbitan artikel itu hanya sekitar 10 hingga 20 halaman,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Semalam, Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak menegaskan, golongan akademik di universiti telah terperangkap dalam budaya mengejar ranking yang dicipta oleh golongan pemodal.
Menurutnya, dalam mengejar ranking, ahli akademik terpaksa mengikut kriteria yang ditetapkan oleh golongan ini bagi memastikan ranking institusi masing-masing meningkat seterusnya menjadi penanda kepada ketampakan institusi mereka di peringkat global.
Azman berkata, penerbitan berindeks tempatan seperti MyCite boleh diangkat setara dengan penerbitan berindeks di luar negara yang menelan kos yang tinggi.
Katanya, hasil penerbitan yang berasaskan kajian bukan sahaja dapat disajikan dalam jurnal tempatan dengan kos yang lebih ekonomik, malah kebanyakan penerbitannya boleh diakses secara percuma.
“Apa yang diperlukan adalah proses penilaian artikel dan saringannya perlu dipertingkat dari masa ke masa. Jika sesuatu artikel itu berkualiti dan kajiannya signifikan, tidak mustahil semua pengkaji dari seluruh dunia menjadikannya rujukan.
“Selain itu, penerbitan buku ilmiah juga digalakkan dengan lebih rancak lagi agar para akademik di universiti berminat untuk menghasilkan buku yang berkualiti dan diberi pengiktirafan yang selayaknya,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohd. Foad Sakdan berkata, penarafan universiti antarabangsa masih relevan untuk institusi pengajian tinggi itu terutama sebagai indikator kepada pelajar antarabangsa di seluruh dunia membuat pilihan bagi menyambung pengajian.
Beliau berkata, terdapat negara luar yang menjadikan QS World University Rankings itu sebagai penanda aras penting untuk menghantar pelajar mereka ke negara ini.
“Contoh, kalau kita lihat kemasukan pelajar antarabangsa dari Indonesia, Iran, Iraq dan Asia Barat mereka melihat kedudukan ranking itu sebelum hantar pelajar mereka. Indonesia misalannya melihat universiti yang berada ranking teratas akan galakan pelajar untuk hadir di universiti itu.
“Di situ secara tidak langsung ada implikasi misalnya jika kita ranking di bawah mungkin pelajar tidak akan hadir di universiti itu. Begitu juga, di Iran, Arab Saudi dan Libya yang kita adakan perbincangan baru-baru ini juga mereka melihat dari segi ranking,” katanya.
Kata Dr. Mohd. Foad, dalam kalangan pelajar tempatan pula ranking tersebut turut dijadikan indikator untuk memudahkan mereka memperoleh pekerjaan setelah menamatkan pengajian. – UTUSAN










