Kerajaan `tak menang tangan' urus berita palsu - Utusan Malaysia

Kerajaan `tak menang tangan’ urus berita palsu

SAIFUDDIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan akan mewujudkan Akta Antibuli Siber bagi menangani berita palsu yang cepat tular sehingga Kementerian Komunikasi dan Multimedia `tak menang tangan’ menguruskan penyebaran tersebut.

Draf undang-undang itu sedang dilengkapkan Pejabat Peguam Negara dan kementerian berharap ia dapat dibentangkan pada persidangan Parlimen akan datang.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, sepanjang setahun mengemudi kementerian itu, isu berita palsu menjadi cabaran paling besar dirasai dan dilaluinya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sekarang ini, kementerian saya bukan sahaja berdepan dengan banyak maklumat tular tidak benar mengenai wabak Covid-19, malah program imunisasi nasional turut menjadi mangsa jenayah tersebut.

“Masyarakat kita waima yang terpelajar mudah terpengaruh dengan berita disebarkan warganet kononnya vaksin ini agenda konspirasi pihak tertentu,” katanya kepada media di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, Pasukan Respons Pantas yang diwujudkan kementerian itu tidak ‘menang tangan’ bekerja 24 jam membuat penjelasan terhadap ratusan berita palsu setiap hari.

Katanya, CyberSecurity juga diperkasakan khasnya dalam bidang forensik digital dan kerajaan bersyukur sistem keselamatan rangkaian data raya awam masih utuh berbanding kebanyakan negara lain.

Selain itu, Saifuddin berkata, kementerian juga memberi perhatian gejala buli siber dalam kalangan warganet tempatan hingga ada kes bunuh diri akibat tidak tahan menerima tekanan di laman sosial.

Dalam perkembangan lain, beliau turut membayangkan akan mewujudkan Perbadanan Muzik bagi membela nasib penggiat hiburan yang seolah-olah tiada ‘ibu bapa’.

Katanya, badan tersebut akan membolehkan kerajaan mentakrif semula kerjaya industri kreatif agar lebih spesifik menerusi bancian sistematik oleh Jabatan Perangkaan.

“Mereka ini malu alah apabila ditanya pekerjaan dengan sekadar sebut penggiat seni dan banyak bantuan pakej tertentu bagi yang terkesan dengan Covid-19 tidak dapat disalurkan,” kesalnya.

Ditanya perkembangan penjenamaan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) kepada Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Saifuddin berkata, agensi itu akan dipecah mengikut daerah.

Langkah ini katanya, berlainan daripada sebelum itu apabila pejabatnya ada di setiap 222 kawasan parlimen, malah akan melibatkan staf daripada Unit Komunikasi Orang Kurang Upaya.

Inisiatif baharu itu jelasnya, untuk memastikan hebahan kerajaan dapat disampaikan lebih efektif terus ke akar umbi dan mereka akan digerakkan dalam semua acara rasmi kerajaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×