Menghidupkan kembali telepuk, seni pemakaian bangsawan - Utusan Malaysia

Menghidupkan kembali telepuk, seni pemakaian bangsawan

Sebahagian peserta bengkel seni telepuk percuma yang diadakan baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Peredaran zaman, perkembangan teknologi dan kepesatan era globalisasi, antara faktor seni warisan tradisional kian pupus dan dilupai.

Seni telepuk antara seri warisan tenggelam akibat peredaran zaman. Kalau ingin melihatnya, kita boleh berkunjung ke Muzium Negara.

Seni menghias tekstil tradisional Melayu ini sudah tidak diusahakan lagi sejak awal kurun ke-19.

Memuatkan artikel berkaitan…

Adiguru Prof. Adjung Norhaiza Noordin berkata, hasil seni telepuk, khusus untuk pemakaian golongan bangsawan.

Justeru apabila golongan bangsawan tidak mengenakan busana, seni itu pupus begitu sahaja.

“Salah satu punca kepupusannya, ialah kerana golongan bangsawan tidak lagi memakai pakaian ini. Persaingan daripada produk jenama luar turut menjadikan punca ia tidak digayakan lagi,” katanya.

 

Sultan Iskandar Shah Al-Kaddasullah (1881-1938) memakai destar berhias telepuk. – Ihsan Jabatan Muzium Malaysia

Busana daripada seni telepuk ini tidak boleh dipakai oleh orang awam.

Keistimewaan kain telepuk hanya dipakai oleh golongan istana seperti Sultan dan Raja. Suatu ketika dulu, pembuatan kain ini dilakukan sendiri oleh Sultan dan Raja. Tidak ada sebarang orang awam yang boleh menghasilkannya.

“Antara sebabnya ialah kerana kain itu dibuat menggunakan emas. Kalau silap pembuatan ia hanya menyebabkan pembaziran.

“Kalau emas dicuripun ia suatu masalah juga,” katanya.

Prof. Adjung Norhaiza Noordin.

 

Seni tradisional menghias kain ini dipercayai dibawa masuk oleh pedagang Bugis dari Sulawesi ini melibatkan proses panjang dalam penghasilannya.

Ia melibatkan proses menekap motif menggunakan cop ukiran kayu yang bergam ke atas kain tenun benang halus yang kemudiannya dilekapkan dengan kertas emas atau serbuk emas atau perak atau perada.

Norhaiza yang juga Yang Dipertua Persatuan Pengiat-pengiat Seni Ukitan Kayu Malaysia (Pengukir) berkata, usaha memartabatkan pakaian itu memerlukan usaha pelbagai pihak khususnya golongan istana kerana mereka sahaja yang boleh dan mampu menggayakan kain emas itu.

RM30,000 HINGGA RM45,000

“Kos pembuatan kain sarong daripada telepuk sahaja dianggarkan mencecah antara RM30,000 hingga RM45,000. Selain menggunakan acuan daripada kayu, hiasannya terdiri daripada serbuk emas. Lagi besar kain itu, lagi mahallah harganya. Sebab itulah ia hanya busana orang Istana,” katanya menyingkap kehebatan sehelai telepuk.

Norhaiza yang juga Tokoh Kraf Ukiran Halus memberitahu, menurut sejarah, proses menelepuk di Semenanjung Tanah Melayu kebiasaannya dibuat di atas kain yang telah digerus.

Gerus ialah suatu teknik membuatkan kain berkilat.

Kaedah tradisi itu menggunakan siput gerus atau nama saintifiknya cypraea tigris.

Teknik ini turut dikenali juga sebagai ‘garusu’ atau ‘garusi’ dalam kalangan masyarakat yang mengamalkannya, khususnya di Sulawesi, Indonesia.

Seni tata hias emas ini dimiliki dan dipelihara oleh pihak istana dan pemakaiannya dikhaskan untuk keluarga diraja dan golongan bangsawan seperti di negara China, India, Jepun dan Indonesia.

Ia bersifat mewah dan selain daripada persalinan busana penuh, ia turut dijadikan aksesori Melayu seperti tanjak, samping, selendang, kain ikat pinggang dan sapu tangan.

Aksesori ini sering dipakai orang Melayu untuk menghadiri majlis rasmi di istana dan sebagai pakaian istiadat perkahwinan.

Raja Harun Al Rashid bergelar Raja Kechil Sulong (1918-1933), adinda kepada Sultan Iskandar Shah Sultan Idris Murshidul Azzam Shah Rahmatullah memakai busana berhias telepuk. – ihsan Jabatan Muzium Malaysia

KEMPEN MENGENALI TELUPUK

Menerusi matlamat mendekati dan mengenali fabrik berkenaan, Norhaiza bersama Pergerakan Langkasuka dengan sokongan Yayasan Hasanah, melancarkan kempen Telepuk, ‘Memulihara Warisan Seni Tradisional’.

Kempen sejak tahun 2020 itu dijayakan menerusi penganjuran aktiviti antaranya bengkel, penyelidikan dan dokumentasi dan mengenal pasti pengusaha yang berminat dan berpotensi.

Norhaiza memiliki lebih 40 tahun pengalaman dan kepakaran dalam dunia pertukangan kayu memberitahu, beliau terpanggil mendekati telepuk kerana acuan asas seni itu diperbuat daripada kayu.

Lantas penggiat seni tradisional ini mengambil langkah berganding usaha untuk memulih dan menghidupkan semula serta mengembangkan seni ini supaya tidak lagi dikaitkan dengan perkataan pupus sebaliknya akan diteruskan oleh generasi akan datang.

“Pada bengkel yang saya anjurkan baru-baru ini, ia berjaya menarik penyertaan 100 peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan. Kebanyakan peserta memberitahu mereka mahu mendampingi dan memesrai seni warisan Melayu ini,” katanya.

Menariknya, kempen dijayakan itu, turut mendapat perhatian Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang sememangnya mempunyai minat mendalam dalam mengekalkan warisan kraf tradisional.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×