ALOR SETAR: Ketika pelbagai pihak merungut mengenai peningkatan harga barangan keperluan dan makanan, Pertubuhan Bank Makanan Malaysia (Food Bank) tidak jemu-jemu menyantuni golongan kurang berkemampuan dengan menyajikan makanan percuma, tiga kali seminggu di pejabat mereka.
Menurut pengasasnya, Mohd. Azrul Mohd. Razak, 38, usaha itu dimulakan sejak tiga tahun lalu ketika rakyat di seluruh negara berdepan pandemik Covid-19 hingga menyebabkan ada dalam yang terputus bekalan makanan asas.
“Sewaktu Covid-19, kami mulanya edar kotak-kotak makanan kepada masyarakat. Namun apabila mengenangkan nasib golongan tertentu terutamanya gelandangan maka kami ambil inisiatif untuk menyediakan makanan siap dimakan kepada mereka.

“Kami mengambil keputusan meneruskan usaha ini pada era pasca pandemik. Bermula daripada cuma seminggu sekali, kini langkah untuk menyediakan makanan percuma ini dilanjutkan tiga hari seminggu iaitu pada waktu tengah hari Rabu dan pagi Jumaat serta Sabtu.
“Sehingga kini, pejabat ini kami jenamakan sebagai Kafe Makan Percuma. Kami harap dapat terus sediakan makanan buat golongan kurang berkemampuan dan bila lihat mereka menghargai makanan itu, ianya satu kepuasan buat kami,” katanya ketika ditemui di sini.
Tambah Mohd. Azrul, sambutan daripada orang ramai terutamanya mereka yang kurang berkemampuan cukup menggalakkan dengan lokasi tersebut ada kalanya dihadiri hampir 100 individu setiap kali makanan percuma disediakan.
“Kebanyakan mereka adalah gelandangan tetapi tak kurang juga daripada golongan pekerja am seperti buruh, pekerja kontrak dan pekerja pembersihan.
“Ada juga antara mereka yang datang tengah hari di sini selepas mengambil anak di sekolah. Sambil menikmati juadah, ada juga antara mereka yang berceritakan tentang masalah masing-masing dan kami tidak keberatan untuk menolong individu terlibat membuat permohonan sebarang bantuan secara dalam talian daripada mana-mana agensi,” katanya.
Katanya, seramai 20 sukarelawan membantu menjayakan usaha tersebut secara bergilir-gilir selain turut mendapat sokongan beberapa pihak antaranya badan-badan korporat, Majlis Agama Islam Negeri Kedah, baitulmal serta pasar raya yang menyumbangkan bahan-bahan mentah.
“Berkenaan menu pula, kami akan masak sajian berbeza setiap minggu tetapi lengkap termasuk kuih-muih dan buah-buahan untuk dijamu kepada setiap individu yang hadir ke sini,” katanya.
Sementara itu seorang warga emas, Che Nayan Bedin, 70, berkata, dia merupakan antara pengunjung tetap yang datang bagi menikmati juadah di Kafe Makan Percuma.
“Saya bersama rakan memang kerap makan di sini. Lauk-pauk disediakan sedap dan bukan dibuat secara sambil lewa. Mereka juga layan kami dengan baik. Biasanya sebelum makan, saya akan mengetuai bacaan doa beramai-ramai sebelum kami menikmati hidangan,” katanya. – UTUSAN











