Nora Ariffin makin pulih, ingin makan nasi daun pisang

Nora Ariffin makin pulih, ingin makan nasi daun pisang

NORA Ariffin dilaporkan semakin stabil selepas mengalami sesak nafas dan dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Kajang, Selangor, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Datuk Nora Ariffin, 50, dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Kajang, Selangor akibat mengalami sesak nafas, kelmarin.

Perkara itu disahkan anak sulungnya, Syakir Iman, 30, ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Bagaimanapun, kata Syakir, ibunya masih ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dan kemungkinan dapat dipindahkan ke wad normal bermula hari ini.

“Mak kelihatan semakin stabil dan lebih baik berbanding kelmarin. Mak juga boleh bercakap macam biasa tetapi masih kena berehat. Nampaknya ada peningkatan dari sudut tahap kesihatannya selepas menjalani rawatan intensif di hospital.

“Insya-Allah, esok (hari ini) sudah boleh dipindahkan ke wad biasa. Semalam pun ada kalangan rakan-rakannya datang ziarah, dia nampak sangat okey. Cuma, katanya masih rasa penat. Dia juga ada sebut teringin nak makan nasi daun pisang dengan kari kepala ikan di restoran kegemarannya,”katanya.

Dalam pada itu, kata Syakir, dia sudah menasihatkan ibunya itu untuk tidak terlalu memikirkan mengenai soal kerja buat sementara waktu.

“Saya ada ingatkan dia supaya tak perlu fikirkan tentang kerja lagi dan berehat dahulu. Ini kerana, dia sudah mula fikir pasal kerja dan projek baharunya,” katanya.

Kelmarin, suami penyanyi tersebut, Dr .Rushdi Ramli memaklumkan di Instagram mengenai keadaan Nora yang terpaksa dibawa ke sebuah pusat perubatan swasta di Kajang, Selangor akibat sesak nafas.

Pada masa yang sama, ketika dihubungi Utusan Malaysia, anak sulung Nora memaklumkan bahawa penyanyi tersebut telah dimasukkan ke wad di sebuah hospital swasta sejak seminggu yang lalu selepas disyaki mengalami demam denggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×