Penganalisis jangka KDNK 3Q 2.6 - 2.8%

Penganalisis jangka KDNK 3Q 2.6 – 2.8%

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga (3Q) 2023 diunjurkan rendah sekitar 2.8 peratus berikutan ekonomi yang lebih lemah, menurut penganalisis.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, keadaan itu turut disebabkan eksport yang turun lebih daripada 12 peratus, sama seperti prestasi import.

“Kita cuma mengharapkan penggunaan persendirian dan kerajaan yang tinggi bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi bagi suku ketiga ini.

“Kemungkinan kita menghadapi keadaan yang sukar seperti suku kedua yang menunjukkan perkembangan 2.9 peratus. Jadi, bagi suku ketiga ini saya jangkakan KDNK negara akan berada dalam lingkungan 2.6 hingga 2.8 peratus,” katanya ketika dihubungi semalam.

Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengumumkan pertumbuhan KDNK suku ketiga negara Jumaat ini.

Pada suku kedua lalu, ekonomi negara berkembang pada 2.9 peratus manakala pada suku pertama ia berkembang sederhana pada kadar 5.6 peratus didorong terutamanya oleh permintaan dalam negara.

Ia menjadikan pertumbuhan ekonomi pada separuh pertama tahun ini kepada 4.2 peratus dan sejajar dengan unjuran kerajaan 4.0 hingga 5.0 peratus bagi ke­seluruhan 2023.

Mengulas mengenai pandangan pelbagai firma penyelidikan yang mengunjurkan pertumbuhan KDNK suku ketiga lebih baik pada 3.4 peratus, beliau berkata, perkara itu boleh terjadi bergantung kepada penggunaan awam dan swasta.

“Mungkin selepas kerajaan mengagihkan bantuan rahmah, ia akan membantu melonjak pasaran sekaligus menstabilkan ekonomi. Namun, saya jangka tidaklah sampai 3.4 peratus,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff turut berpandangan sama, dengan mengunjurkan pertumbuhan suku ketiga sekitar 3.0 peratus sahaja.

“Saya melihat pertumbuhan KDNK suku ketiga kemungkinan rendah daripada pertumbuhan suku kedua atau mungkin sekitar 3.0 peratus.

“Walaupun masih lagi berlaku pertumbuhan ekonomi, tetapi kadar pertumbuhan semakin perlahan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×