KOTA BHARU: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) memerlukan sebanyak 8,200 tan metrik benih padi setahun bagi membolehkan kerja-kerja penanaman sumber makanan itu dapat disempurnakan dengan sebaik mungkin.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengurus Besarnya, Mohd. Faizul Mustafa berkata, bagaimanapun agensi itu hanya memperoleh kuota benih sebanyak 700 tan metrik setahun.
“Situasi ini disebabkan ketidakupayaan ladang benih KADA memenuhi standard kualiti Jabatan Pertanian.
“Ia disebabkan oleh faktor sumber yang air tidak menentu dalam kawasan seliaan KADA,” katanya.
Mohd. Faizul berkata, pesawah boleh mendapatkan benih padi daripada sembilan pengeluar bahan itu diseluruh negara.
Katanya, ia boleh dibeli melalui stokis Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan peruncit swasta.
Akhbar ini sebelum ini melaporkan, kerja-kerja menanam musim kedua padi di Perlis dan Kedah terganggu apabila kira-kira 90 peratus pesawah dalam Kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) gagal mendapatkan bekalan benih padi sah (BPS).
Krisis yang disifatkan paling buruk itu menyebabkan hanya sekitar 7.4 peratus daripada 9,171 pesawah MADA di Perlis dan hanya 10.1 peratus pesawah di Kedah dapat memulakan tanaman padi mulai akhir September lalu.
Masalah sama turut berlaku di luar kawasan MADA di negeri ini apabila hanya sekitar 60 peratus daripada 6.789 pesawah sudah memulakan tanaman. Ia mengakibatkan jadual penanaman sudah jauh tersasar sekali gus bakal memberi kesan kepada hasil tanaman pada Februari 2024.
Di Kedah, jika mengikut jadual penanaman pada musim ini, sebanyak 33,580 hektar atau 30 peratus kawasan sawah MADA sepatutnya sudah mula ditabur BPS sejak 27 September hingga 11 November ini.
Selain itu, pesawah juga merungut kerana harga benih padi yang semakin tinggi sehingga mencecah RM50 sekampit bagi 20 kilogram turut membebankan golongan berkenaan.
Untuk musim tanaman kali ini, keseluruhan pesawah dalam kawasan MADA di Perlis memerlukan sekitar 115,057 kampit benih padi manakala petani di luar MADA pula memerlukan 28,412 kampit bekalan benih berkenaan membabitkan keluasan kawasan tanaman 28,003 hektar. – UTUSAN











