Johor Plantations komited masa depan yang mampan

Johor Plantations komited masa depan yang mampan

MAJLIS pertukaran dokumen kerjasama antara Johor Plantations dan Gas Malaysia Berhad disaksikan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Johor Plantations Berhad (Johor Plantations) terus memperkukuhkan komitmennya bagi menghasilkan bahan keperluan asas mampan untuk negara, melalui pertukaran dokumen rasmi dengan Gas Malaysia Berhad (GMB) dan Eonmetall Technology Sdn. Bhd. (ETSB) sempena Minggu Iklim Asia Pasifik (APCW) 2023, yang diadakan di Johor Bahru.

Majlis tersebut disaksikan oleh Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Pada Ogos 2023, Johor Plantations mula membekalkan gas kepada Gas Malaysia Virtual Pipeline Sdn. Bhd. (GMVP) melalui loji biometana pertamanya yang terletak di Sedenak, Johor, menurut syarikat itu dalam kenyataan.

Jelasnya, di majlis pertukaran dokumen, Johor Plantations dan GMB telah memeterai perjanjian pembelian antara kedua-dua syarikat tersebut, khususnya anak syarikat GMB iaitu GMVP untuk membeli biometana dan BioCNG (Gas Asli Mampat) dan kemudian membekalkannya ke seluruh Malaysia menerusi rangkaian pengedaran gas asli GMB.

“Di samping itu, Johor Plantations turut menyempurnakan penyerahan Loji Pengekstrakan Minyak Gentian Sawit (PFOE) di Sedenak yang telah dibina oleh ETSB.

“Loji PFOE merupakan sebahagian daripada inisiatif ‘waste to wealth’ oleh Johor Plantations yang berusaha mewujudkan ekonomi kitaran menerusi penggunaan mampan dan kitar semula produk minyak sawit,” katanya.

Pengarah Urusan Johor Plantations, Mohd. Faris Adli Shukery berkata, Syarikat bertanggungjawab untuk membentuk masa depan yang cerah dan mampan dengan memenuhi keperluan sosioekonomi negara menerusi perniagaannya.

Kata beliau, loji biometana dan PFOE merupakan inisiatif terkini untuk mempelopori inovasi dalam perniagaan Syarikat menerusi tenaga boleh diperbaharui dan teknologi hijau.

“Kami yakin pelaburan ini akan dapat mengukuhkan kedudukan kewangan perniagaan minyak sawit kami, disamping menjana pulangan mampan kepada pemegang saham demi masa depan rendah karbon yang lebih hijau,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Negeri Johor bagi UN Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB), Edey Suresh berkata, Johor Plantations harus dipuji kerana komitmen mereka terhadap amalan mampan menerusi inisiatif
penggunaan biometana dan PFOE yang inovatif.

Katanya, dedikasi mereka kepada pemuliharaan alam sekitar dan penyertaan dalam program Global Compact Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menunjukkan pendekatan proaktif dalam mencipta masa depan yang lebih mampan.

“Kami menggalakkan syarikat lain untuk mencontohi langkah mereka dengan menerapkan amalan bertanggungjawab dan beretika di dalam operasi kerja mereka demi kesejahteraan bumi dan masyarakat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×