Sifat kelembutan yang ada pada wanita bukanlah satu halangan untuk mara ke hadapan. Di sebalik kelembutan itu, tersimpan kekuatan utuh dan semangat waja.
Meski dunia dilanda pandemik Covid-19, kepayahan demi kepayahan mengajar wanita untuk tetap bangkit mendepani cabaran.

Felo Akademi Sains Malaysia, Datuk Dr. Madeline Berma berkata, wanita antara kelompok paling terkesan dengan pandemik.
Katanya semasa penularan Covid-19 dan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Malaysia (PKP) wanita berdepan pelbagai kesukaran, antaranya akses kepada penjagaan kesihatan dan kehilangan pekerjaan.
Pada masa berdepan beban kerja dan rumah tangga, segelintir wanita turut mengalami keganasan domestik.
“Wanita bekerja di lapangan kerja tidak formal, berhadapan dengan risiko kehilangan kerja atau pengurangan waktu bekerja, menjadikan ramai mereka jatuh miskin atau tergolong dalam kumpulan rentan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai cabaran wanita sejak pandemik melanda negara setahun lalu sempena sambutan Hari Wanita Sedunia, hari ini.
Hari Wanita Sedunia yang turut dikenali dikenali sebagai Hari Wanita Antarabangsa. Ia disambut setiap tahun bagi meraikan peranan wanita dalam pelbagai bidang.
SESUAI
Bertemakan Wanita bangkit mendepani cabaran, ia dilihat sesuai bagi mengangkat semangat juang wanita yang tidak mengenal penat lelah dalam mengharungi cabaran kehidupan.

Madeline, berkata usaha pemerkasaan wanita perlu terus dilakukan supaya golongan ini mempunyai akses dan mengawal pendapatan serta aset.
Ini kerana mereka memiliki kemampuan mengawal dan memanfaatkan faedah kemajuan ekonomi, mempunyai kuasa membuat keputusan serta peningkatan produktiviti.
TENAGA KERJA
Mengulas mengenai kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) wanita masih rendah iaitu 55.6 peratus jika dibandingkan dengan negara lain seperti Australia (72.5 peratus) dan Singapura (69.1 peratus), Madeline memberitahu, walaupun keadaan ini berlaku, wanita masih mempunyai peranan penting dalam pembangunan negara.
“Di Malaysia, kadar penyertaan wanita dalam tenaga kerja masih rendah berbanding dengan lelaki. Pun begitu, mereka juga boleh menjadi pengguna yang turut memberi sumbangan kepada negara,” katanya.
Hikmah pandemik
Walaupun ramai menganggap Covid-19 memberi impak negatif kepada kehidupan rata-rata penduduk dunia, ia turut memberikan hikmah tersendiri demi survival.
Golongan itu dilihat semakin kreatif meneroka bidang yang mampu menjana pendapatan seperti menceburi perniagaan dan perkhidmatan secara dalam talian.
Sebilangan wanita berjinak-jinak mempelajari selok-belok bidang keusahawanan sebagai ikhtiar bagi mendepani cabaran pasca Covid-19.
Madeline berkata, sejajar dengan itu, mereka turut perlu melakukan perubahan dalam corak pemasaran dan kaedah jualan untuk kekal relevan dan kompetitif.
Pendapatan tidak seimbang
Kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan wanita mempunyai tanggungjawab tidak seimbang untuk kerja penjagaan tidak berbayar.
Kajian itu mendapati wanita memperuntukkan lebih satu hingga tiga jam sehari untuk kerja di rumah berbanding lelaki, lebih dua hingga 10 jumlah masa diperuntukkan sehari untuk penjagaan (kanak-kanak, orang tua, dan menjaga mereka yang sakit), dan kurang satu hingga empat jam sehari untuk kerja-kerja berbayar. Situasi sama turut berlaku di Malaysia.
Perbezaan yang berakar umbi dalam peranan gender, mengurangkan masa lapang, kebajikan dan kesejahteraan wanita.
Madeline berkata, hasil daripada perbezaan tanggungjawab domestik ini, lelaki dan wanita mempunyai corak penggunaan masa yang berbeza, jumlah masa lapang dan keaktifan beraktiviti.
“Keadaan ini mempunyai kesan kepada kemampuan wanita untuk terlibat dalam peluang pendidikan, kemampuan mereka untuk meraih peluang ekonomi dan keusahawanan, dan untuk terlibat lebih mendalam dalam kehidupan semasa ekonomi, politik, awam dan sosial.
“Kesaksamaan hanya boleh dicapai, sekirannya halangan sistemik yang masih wujud dalam masyarakat, dapat dihapuskan.
“Antaranya diskriminasi daripada segi gender dalam keluarga, tempat kerja, dasar kerajaan, media dan pendidikan,” katanya.
Sementara itu, jika dilihat pada pengalaman keadaan krisis ekonomi termasuk krisis kewangan Asia 1997, pemberhentian pekerja wanita dilihat jauh lebih tinggi daripada lelaki kerana masyarakat masih melihat lelaki sebagai penyedia utama.
Tambah beliau, dalam keadaan krisis, lazimnya wanita, golongan tua, mereka yang kurang berpendidikan akan di berhentikan.
“Pekerja wanita diberhentikan dan pekerja lelaki dikekalkan kerana lelaki sering dianggap sebagai ketua isi rumah, penyumbang utama pendapatan dan mempunyai banyak tanggungan.
“Inilah yang berlaku kepada perniagaan yang tutup akibat Covid-19, seperti sektor hospitaliti, pelancongan, perkhidmatan dan pembuatan,” katanya.
Lantaran itu, tegasnya, satu-satunya cara untuk kita teruskan kehidupan ini adalah menerusi penyesuaian diri dan keluarga dengan semua perubahan yang sedang serta bakal berlaku dan bukannya dengan bermimpi, mengharapkan kehidupan kita kembali seperti dulu,” katanya.
Simpanan masa depan
Memahami keperluan perbelanjaan semasa pandemik dan kebanyakan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), baru-baru ini yang mengeluarkan I-Sinar terdiri daripada pencarum wanita suri rumah, Madeline mahu wanita memikirkan caruman tersebut sebagai simpanan untuk persaraan pada masa hadapan.

“Kepada yang belum melakukan pengeluaran, pastikan pengeluaran i-Sinar adalah langkah terakhir, jika tidak ada sumber wang lain.
“Bagi mereka yang sudah mengeluarkan i-Sinar, mereka diharapkan mengguna wang tersebut untuk kegunaan yang produktif yang boleh mencipta pendapatan.
“Apabila kembali bekerja, mereka perlu menambah caruman dan membuat simpanan lebih banyak untuk jaminan hari tua,” katanya memberi pesanan.











