PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) diiktiraf sebagai Penerima Terbaik Trek Sosial pada Anugerah Inovasi Sektor Awam (AIPSA) 2023 bagi projek yang berimpak tinggi untuk inisiatif perkhidmatan digital THiJARI.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata, anugerah ini merupakan pengiktirafan kepada TH disamping mencerminkan komitmen dan usaha jitu warganya dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada lebih sembilan juta pendeposit melalui aplikasi THiJARI.
Katanya, ia selari dengan usaha TH ke arah digitalisasi.
“THiJARI adalah inisiatif dan komitmen TH untuk memudahkan para pendeposit melakukan transaksi secara dalam talian dengan selamat tanpa perlu hadir ke pejabat cawangan.
“Anugerah ini juga menandakan kepercayaan yang tidak terhingga oleh pendeposit kami dan TH sentiasa berusaha untuk memberikan kemudahan serta perkhidmatan yang terbaik kepada para pendeposit TH,” katanya dalam kenyataan.
Majlis anugerah bertemakan ‘Malaysia Madani Memperkasa Inovasi’ tersebut telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Tambahnya, pemilihan penerima terbaik adalah berdasarkan kepada empat kriteria penilaian iaitu berimpak tinggi, nilai untuk wang, pendigitalan dan kemampanan.
Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri telah menerima 313 penyertaan dan sebanyak 34 telah disenarai pendek ke Jawatankuasa Pencalonan AIPSA.
Anugerah ini diwujudkan untuk mengiktiraf dan meraikan agensi yang telah memberi sumbangan signifikan dan nilai tambah kepada penyampaian perkhidmatan awam melalui penghasilan inovasi. – UTUSAN










