PETALING JAYA: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada pagi ini berikutan peningkatan hasil bon Amerika Syarikat (AS), susulan kenyataan `hawkish’ Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed), Jerome Powell mengenai dasar monetari negara itu, kata penganalisis.
Pada pukul 9.03 pagi, ringgit jatuh kepada 4.7220/7275 berbanding dolar AS, daripada kadar penutup semalam pada 4.6895/6965.
Memetik laporan Bernama, Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, hasil Perbendaharaan AS dua tahun dan 10 tahun lebih tinggi sebanyak sembilan dan 14 mata asas untuk ditutup masing-masing pada 5.02 peratus dan 4.63 peratus, manakala indeks dolar AS meningkat 0.29 peratus kepada 105.904 mata.
Beliau berkata, pasaran kewangan dengan cemas menunggu kenyataan Powell mengenai dasar monetari semasa forum Tabung Kewangan Antarabangsa malam tadi (Khamis).
“Memang benar, ketua Fed menunjukkan bahawa kadar faedah AS mungkin perlu meningkat lagi untuk memenangi perang menentang inflasi,” katanya.
Menurut laporan, Powell berpendapat bahawa bank pusat itu tidak 100 peratus yakin kitaran kenaikan kadar telah berakhir.
Sehubungan itu, Mohd Afzanizam berkata, ringgit dijangka kekal lemah pada sekitar 4.69 hingga 4.70 berbanding dolar AS.
Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia susut berbanding yen kepada 3.1199/1238 daripada 3.1050/1099 pada penutup semalam, susut berbanding euro kepada 5.0370/0428 daripada 5.0173/0248, dan susut berbanding pound Britain kepada 5.7703/7770 daripada 5.7695/7781 sebelum ini.
Ringgit juga diniagakan rendah berbanding mata wang ASEAN lain.
Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.4703/4746 daripada 3.4563/4617 semalam, dan turun berbanding baht Thailand kepada 13.1914/2134 daripada 13.1802/2065 sebelumnya.
Ia juga susut berbanding peso Filipina kepada 8.43/8.45 daripada 8.39/8.41 pada Khamis, dan susut berbanding rupiah Indonesia kepada 301.5/302.1 daripada 299.5/300.1 semalam. – UTUSAN










