GEORGE TOWN: Saman dikemukakan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow terhadap Penasihat Eksekutif Dewan Perniagaan Tionghua Pulau Pinang (PCCC), Tan Sri Tan Kok Ping adalah atas kapasiti antara dua individu.
Sehubungan itu, Kon Yeow berkata, tidak timbul isu sama ada tindakan saman tersebut mengaruhi atau menjejaskan hubungan serta kerjasama kerajaan negeri dengan persatuan perniagaan berkenaan.
“(Saman) ini merujuk kepada dua individu, bukan dilihat sebagai (antara) pemimpin kerajaan negeri dan persatuan berkenaan,” katanya semalam
Beliau ditanya sama ada tindakannya yang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Kok Ping menjejaskan hubungan kerajaan negeri dengan persatuan perniagaan itu yang disifatkan berpengaruh di negeri ini.
Terdahulu, Kon Yeow memaklumkan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pulau Pinang memutuskan secara sebulat suara supaya beliau mengambil tindakan undang-undang terhadap Kok Ping yang juga Presiden Kehormat Seumur Hidup PCCC.
Ia berikutan dakwaan kenyataan Kok Ping mengaib dan menjatuhkan maruah beliau sebagai Ketua Menteri menerusi sidang akhbar berhubung penjualan tanah di Byram, Batu Kawan.
Keputusan MMK itu dibuat berdasarkan liputan media yang memetik Kok Ping menggunakan perkataan-perkataan mengaib dan menjatuhkan maruah Kon Yeow.
Sementara itu, ditanya sama ada sudah menghantar notis saman tersebut kepada Kok Ping, beliau berkata, ia akan dilakukan dalam tempoh beberapa minggu akan datang.
Kata beliau, barisan peguamnya memerlukan masa untuk menyediakan dokumen-dokumen yang diperlukan sebelum dapat memulakan proses atau memulakan kes tersebut. – UTUSAN










