Lima beradik hadapi banjir tanpa ibu bapa tunai umrah

Lima beradik hadapi banjir tanpa ibu bapa tunai umrah

MUHAMMAD Akmal Danial Azman (kanan) bersama adik-beradiknya membersihkan barangan rumah selepas dilanda banjir di Kampung Cemperai, Dengkil, Selangor. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DENGKIL: Lima beradik di Kampung Chemperai di sini, menempuh pengalaman sukar dilupakan apabila pertama kali terpaksa berhadapan situasi banjir tanpa ibu bapa di sisi memandangkan kedua-duanya berada di Tanah Suci menunaikan umrah.

Muhammad Akmal Danial Azeman, 25, dan empat adiknya, Nurin Nabila, 21; Arif Farhan, 19; Nurin Natasya, 16, dan Arif Irfan, 12, bagaimanapun reda mengurus serta membersihkan rumah sesama mereka.

Muhammad Akmal Danial berkata, air mula masuk ke dalam rumah ketika dia bersama adik- beradiknya yang lain menghantar ibu bapa mereka ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 8.30 pagi kelmarin.

“Kira-kira pukul 10 pagi, jiran memaklumkan rumah kami mula dinaiki air, sedangkan ketika itu kami masih berada di KLIA.

“Apabila tiba di rumah, air sudah sampai paras pinggang. Malah, kami sekeluarga terpaksa pindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Kampung Dato’ Ahmad Razali,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini semalam.

Katanya, dia dan adik-adiknya mula membersihkan rumah semalam selepas air mulai surut.

Muhammad Akmal Danial berkata, dia juga terpaksa mengambil cuti bekerja kerana perlu membersihkan rumah, malah, adiknya juga tidak ke sekolah untuk sama-sama mengemas rumah.

“Kalau ada ibu dan ayah, merekalah yang tidak menang tangan mengangkat barangan berharga ke tempat tinggi, namun kali ini air naik dengan cepat.

“Sebelum keluar dari rumah semalam, kami sekeluarga sudah kemaskan beberapa barang penting, namun tidak sempat mengalihkan sofa, televisyen dan peti ais ke tempat lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, Wan Mohd Zaharuddin Wan Rusli, 46, dari kampung sama berkata, dia sudah 10 tahun menetap di kampung ini dan kejadian banjir kerap berlaku sejak tiga tahun lalu disebabkan limpahan air Sungai Langat.

Katanya, walaupun sungai sudah dilebar dan didalamkan serta sistem perparitan ditambah baik, limpahan air sungai tetap berlaku jika hujan lebat beberapa jam.

“Saya percaya kejadian banjir ini berpunca daripada kepesatan pembangunan di sekitar pekan ini yang menyebabkan kawasan tadahan air terganggu,” katanya.

Katanya, dia bersama isteri dan tiga anak berpindah ke PPS Dewan Orang Ramai Kampung Dato’ Ahmad Razali sejak pukul 11 pagi kelmarin selepas rumah dinaiki air paras pinggang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×