Anwar: FDI Jepun lebih RM30 bilion tahun ini - Utusan Malaysia

Anwar: FDI Jepun lebih RM30 bilion tahun ini

ANWAR Ibrahim ketika menerima kunjungan hormat Fumio Kishida di di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya semalam. - FOTO PMO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia dijangka menerima pelaburan langsung asing (FDI) dari Jepun melebihi RM30 bilion (AS$6.33 bilion) tahun ini, berikutan keyakinan tinggi pelabur negara matahari terbit itu terhadap Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia satu petanda menggalakkan tentang keyakinan berterusan pelabur asing sekali gus mengalu-alukan lebih banyak FDI ke negara ini.

Menurut beliau, komitmen pelaburan itu disampaikan ketika lawatan rakan sejawatannya, Fumio Kishida ke Malaysia semalam untuk memperbaharui kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perindustrian, pelancongan, pendidikan serta sains dan teknologi.

“Pada tahun lalu, kedua-dua negara bersetuju untuk memartabatkan hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategi Komprehensif (CSP). Dalam hal ini, kami komited untuk memuktamadkan butiran perkongsian baharu tersebut.

“Saya yakin hubungan kerjasama ini akan membawa hubungan ke tahap lebih tinggi (demi kemajuan kedua-dua negara),” kata Perdana Menteri dalam kenyataan bersama Malaysia dan Jepun di Kompleks Seri Perdana di sini semalam.

Terdahulu, kedua-dua pemimpin mengadakan perbincangan dua hala antara delegasi Malaysia dan Jepun sebelum menandatangani Memorandum Kerjasama dalam Bidang Informasi dan Komunikasi antara Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia dengan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Komunikasi Jepun.

Memorandum tersebut ditandatangani antara Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Komunikasi Jepun, Hiroshi Yoshida dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital, Datuk Mohamad Fauzi Md. Isa.

KOMITMEN

Dalam pada itu, Anwar turut menghargai komitmen berterusan kerajaan Jepun ke arah penubuhan cawagan kampus Universiti Tsukuba di Malaysia sekali gus membolehkan lebih ramai pelajar negara ini mendapat akses kepada sistem pendidikan berkualiti tinggi Jepun.

Selain itu, beliau turut membangkitkan hasrat Malaysia untuk melihat satu lagi penubuhan universiti terkemuka di Jepun, iaitu Universiti Waseda, yang banyak melahirkan tokoh-tokoh di negara ini, termasuk Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz.

“Saya sebutkan kepada Kishida, satu lagi universiti yang telah melahirkan golongan intelektual seperti Prof. Diraja Ungku Abdul Aziz, dan alumni lain dari universiti tersebut, iaitu Universiti Waseda. Saya telah meminta sokongan Kishida supaya kita mengadakan kerjasama istimewa dengan Universiti Waseda,” katanya.

Pada masa sama, Malaysia dan Jepun komited untuk menjalankan usaha menyahkarbon dan mencapai sifar pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebagai rakan kongsi negara bagi Pelepasan Sifar Asia Komuniti (AZEC).

Perdana Menteri berkata, memandangkan gas asli cecair (LNG) adalah eksport utama Malaysia ke Jepun pada tahun lalu iaitu merangkumi 31 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport negara, Malaysia memainkan peranan penting dalam ketahanan rantaian bekalan untuk keselamatan tenaga Jepun.

“Mengenai Kerjasama Pertahanan dan Keselamatan, Malaysia dan Jepun menegaskan komitmen berterusan dalam memelihara keamanan serantau dan keselamatan. Ini akan melibatkan penerokaan baharu kerjasama dalam industri pertahanan,” katanya.

CADANGAN

Selain itu, Anwar turut menzahirkan pandangan kepada Kishida untuk mengambil kira pandangan, cadangan dan kebimbangan Malaysia dan negara rantau lain berhubung kesan pembebasan air terawat daripada Stesen Tenaga Nuklear Fukushima Daiichi.

Bagaimanapun, katanya, Jepun memberi jaminan bahawa pelepasan air terawat itu selamat dan mengambil kira risiko kesan radiologi kepada manusia dan alam sekitar selaras dengan laporan laporan penuh Lembaga Pengelola Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) .

Sementara itu, Kishida berkata, Jepun menyahut baik inisiatif dan kerjasama dengan Malaysia, khususnya dalam tiga bidang utama iaitu kerjasama keselamatan dan pertahanan; ekonomi; serta hubungan ASEAN.

Kata Jishida lagi, beliau gembira melihat hubungan strategik antara Jepun dan Malaysia terus mengukuh, dan berharap beberapa perkara yang dibincangkan, dapat dimuktamadkan menjelang pertemuan kedua mereka sewaktu Persahabatan dan Kerjasama Jepun-ASEAN di Tokyo, pertengahan Disember ini.

Kishida mengadakan lawatan pertama ke Malaysia sejak dilantik sebagai Perdana Menteri Jepun pada Oktober 2021.

Memandangkan Jepun sentiasa memainkan peranan pentingnya sebagai rakan dialog ASEAN, lawatan tersebut mempunyai kepentingan istimewa kerana ia bertepatan dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Persahabatan dan Kerjasama ASEAN-Jepun tahun ini.

Selama lapan tahun berturut-turut sejak tahun 2015, Jepun menjadi rakan dagang keempat terbesar Malaysia. Pada tahun 2022, nilai dagangan dengan Jepun berjumlah RM181.51 bilion (AS$41.21 bilion) yang merangkumi 6.4 peratus daripada jumlah keseluruhan perdagangan Malaysia.

Sehingga Jun lalu, sebanyak 2,778 projek oleh syarikat Jepun telah dilaksanakan di Malaysia, dengan nilai pelaburan berjumlah RM91.89 bilion (AS$27.43 bilion).- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×