Tak sabar nak melombong bauksit - Utusan Malaysia

Tak sabar nak melombong bauksit

Peneroka Felda Bukit Goh, Kuantan berharap aktiviti perlombongan bauksit yang dihentikan oleh kerajaan sejak Januari 2016 dimulakan segera.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Selepas dihentikan sejak 2016 akibat ‘serangan debu merah’ dan bunyi bising aktiviti perlombongan bauksit, namun di sebaliknya ada yang berharap aktiviti ekonomi itu dibuka semula.

Namun, ada juga yang mengharapkan peristiwa lama tidak berulang agar aktiviti ekonomi berkenaan dijalankan dengan baik bak pepatah ‘rambut di dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak’.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, perkara itu ditegaskan seorang penduduk Felda Bukit Goh, Jefri Salim yang amat mengharapkan kerajaan membuka semula aktiviti perlombongan bauksit secepat mungkin.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Gagasan Dua Generasi (G2G) berkata, sudah lama penduduk Bukit Goh dan Bukit Kuantan serta sekitarnya menderita hilang punca pendapatan sejak aktiviti itu dihentikan.

“Tambahan dengan musibah Covid-19, memang terkesan sangat, tidak tahu lagi kepada pihak mana kami ingin merayu nasib. Kami sekarang hanya bergantung ihsan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail untuk memberi kebenaran perlombongan bauksit dibuka semula.

“Berilah keceriaan dan kegembiraan kepada kami untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti,” katanya.

Beliau dalam pada itu berharap agar G2G diberi peluang membantu dan menguruskan bauksit ahli-ahlinya di tanah rancangan tersebut kerana mempunyai penasihat teknikal yang berpengalaman luas dalam bidang perlombongan bahan mineral berkenaan.

Bagaimanapun penduduk di Kampung Bukit Kubang Badak, Che Long Che Ali, 69, berkata, dia tentunya tidak dapat melupakan kesan perlombongan bauksit lalu yang mana dia 100 peratus terkesan ketika itu.

“Saya dulu cukup-cukup terkesan. Rumah diselaputi debu merah, kebun pun habis merah. Memang saya tidak lupa episod duka tersebut.

“Dulu seawal pukul 4 pagi, lori-lori telah masuk (ambil bauksit) dan pergerakan mereka beratus-ratus trip sehari, memang bising.

“Orang belum lagi bangun untuk menunaikan solat Subuh, mereka telah pun mula operasi (angkut bauksit), cuba bayangkan perasaan ketika itu,” katanya.

Che Long berkata, perkara sedemikian berlaku disebabkan pengusaha lombong bauksit haram yang rakus untuk mengaut keuntungan.

“Jika nak mula semula, terpulang pada kerajaan tetapi pastikan tidak wujud pengusaha lombong bauksit haram seperti sebelum ini. Mereka ini rakus. Prosedur operasi standard (SOP) juga perlu ketat demi kelestarian alam sekitar dan keselamatan penduduk serta kejiranan orang kampung,” katanya.

Dalam pada itu, kegiatan perlombongan bauksit boleh memberikan impak positif dan negatif kepada ekonomi negeri dan masyarakat setempat.

Dari sudut positifnya, ia akan meningkatkan pendapatan kerajaan negeri melalui hasil pembayaran royalti daripada perlombongan hasil mineral ini. Malah pada 2015, kerajaan negeri mendapat sebanyak RM47 juta royalti.

Pensyarah Fakulti Pengurusan Industri, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr. Noraina Mazuin Sapuan berkata, kesan positif juga dapat dirasai oleh pemilik tanah yang memajukan tanah mereka bagi tujuan perlombongan bauksit.

“Contohnya, sebelum ini kebanyakan pemilik tanah yang terdiri daripada peneroka telah menukar sumber pendapatan mereka dari hasil keluaran pertanian seperti hasil kelapa sawit kepada pendapatan melalui perlombongan bauksit.

“Selain itu, kesan langsung perlombongan bauksit juga dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat. Ini membantu meningkat taraf hidup penduduk sekitar melalui kesan limpahan positif yang dapat membangunkan kawasan sekitar sektor perlombongan tersebut,” katanya.

Dr. Noraina Mazuin bagaimanapun berkata, pengoperasian perlombongan bauksit juga boleh memberikan impak negatif kepada industri pelancongan, industri perikanan dan industri pertanian sekiranya tiada SOP yang ketat dikuatkuasakan kepada pengusahanya.

“Kesan dari perlombongan bauksit jika tidak dikawal akan menyebabkan pencemaran alam seperti pencemaran udara, sungai dan laut. Dari sudut sektor pelancongan, kesan pencemaran ini akan menyebabkan hasil industri pelancongan terjejas terutama pendapatan pemilik pusat penginapan dan pengusaha kedai makan yang beroperasi di sekitar kawasan perlombongan akan terkesan.

“Pelancong akan merasa takut untuk melancong di kawasan tercemar kerana ia boleh menjejaskan kesihatan mereka di samping tiada lagi pemandangan indah untuk dihayati oleh para pelancong,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini