Guna bahasa Melayu tidak mungkin jejaskan perniagaan

Guna bahasa Melayu tidak mungkin jejaskan perniagaan

TEO KOK SEONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penggunaan bahasa Melayu adalah faktor paling kecil yang tidak mungkin boleh menyebabkan perniagaan terjejas.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, penggunaan bahasa kebangsaan itu tidak wajar dijadikan alasan.

“Faktor yang paling besar menyebabkan perniagaan terjejas adalah faktor cukai, bahasa tidak menjejaskan apa-apa pun” katanya yang sedih dengan sikap masyarakat yang masih di takuk lama dan memandang rendah terhadap bahasa Melayu.

Minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua syarikat dan universiti untuk berhubung dengan agensi kerajaan dalam bahasa Melayu, sambil menambah bahawa surat yang ditulis dalam mana-mana bahasa lain akan dikembalikan kepada pengirim.

Dalam pada itu, penulis, Uthaya Sankar SB berkata, kerajaan mungkin serius dalam memartabatkan bahasa kebangsaan tetapi tidak tegas dalam mewajibkan penggunaan bahasa tersebut dalam urusan rasmi.

Katanya, penggunaan wajib bahasa Melayu oleh Perdana Menteri hanya dalam kiriman surat antara jabatan kerajaan dan syarikat tempatan, maka akan ada banyak kelonggaran.

Sementara itu Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (Samenta) menyifatkannya sebagai satu langkah positif, tetapi tidak seharusnya diwajibkan.

Presidennya, Datuk William Ng berkata, mengarahkan syarikat untuk berkomunikasi dengan agensi kerajaan dalam bahasa Melayu mungkin tidak menghalang perniagaan tetapi dasar itu boleh menjejaskan kedudukan negara dalam indeks kemudahan menjalankan perniagaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×