Israel serang kem pelarian terbesar di Gaza

Israel serang kem pelarian terbesar di Gaza

PENDUDUK Palestin mengeluarkan mayat seorang kanak-kanak daripada runtuhan bangunan di kem pelarian Nuseirat di Semenanjung Gaza. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Serangan terbaharu Israel di kem pelarian Jabalia yang padat dengan penduduk di utara Gaza bukan sahaja mengorbankan puluhan nyawa malah turut mencetus kerosakan besar di kawasan berkenaan.

Pengarah Hospital Indonesia Gaza memberitahu Al Jazeera, lebih 50 rakyat Palestin terbunuh dan 150 cedera dalam serangan udara yang didakwa menyasarkan kubu kuat Hamas.

“Saya sedang menunggu dalam barisan untuk membeli roti apabila secara tiba-tiba dan tanpa sebarang amaran awal tujuh hingga lapan peluru berpandu gugur menghujani kami.

“Terdapat tujuh hingga lapan lubang besar di dalam tanah, penuh dengan orang yang terbunuh, tubuh badan yang berkecai bertaburan di seluruh tempat. Rasanya seperti hampir kiamat,” kata seorang penduduk, Mohammad Ibrahim kepada CNN.

Menurut kenyataan Pasukan Pertahanan Israel (IDF), serangan udara itu menyasarkan Komander Batalion Kanan Hamas, Ibrahim Biari yang disifatkannya sebagai individu bertanggungjawab dalam serangan 7 Oktober lalu ke atas Israel.

Jurucakap IDF, Jonathan Conricus mendakwa, tentera Israel menyasarkan banyak pejuang Batalion Jabalia Tengah yang menguasai bangunan awam dan hanya menyerang di antara bangunan dan kompleks terowong di bawahnya.

“Serangan itu melibatkan lebih daripada satu bom. Runtuhan terowong menyebabkan bangunan di sekitarnya runtuh. Ini tidak boleh dielakkan,” katanya.

Hamas bagaimanapun menafikan kehadiran pemimpinnya di kem pelarian itu dan menuduh Israel cuba untuk membenarkan apa yang disifatkannya sebagai jenayah kejam terhadap orang awam, kanak-kanak dan wanita di kem pelarian itu.

Saksi, Mohammad Al Aswad berkata, dia berlari ke kem untuk memeriksa keluarga selepas mendengar dentuman peluru berpandu yang mendarat dan menggambarkan situasi itu sebagai insiden mengerikan.

“Anak-anak kecil membawa kanak-kanak lain yang cedera sambil berlari dengan habuk dan debu memenuhi udara. Mayat bergelimpangan di atas runtuhan, kebanyakannya tidak dikenali. Ada yang berlumuran berdarah dan yang lain melecur.

“Ramai yang histeria. Saya melihat wanita menjerit dan keliru. Mereka tidak tahu sama ada mahu menangis kerana kehilangan anak, kerana ramai kanak-kanak bermain di kawasan kejiranan ketika kejadian itu,” katanya.

Imej dari tempat kejadian menunjukkan kawah besar di antara runtuhan dan bangunan yang rosak.

Puluhan penduduk Palestin dan pasukan penyelamat dilihat cuba mencari mangsa, ada yang menggunakan tangan untuk menarik dan mengeluarkan sisa runtuhan.

Gaza Selatan turut menyaksikan serangan udara dan organisasi bantuan berulang kali memberi amaran bahawa tidak ada tempat selamat di kawasan terpencil itu.

Menurut Kementerian Kesihatan Palestin di Ramallah, pengeboman Israel ke atas Gaza sudah membunuh sekurang-kurangnya 8,485 orang dan mencederakan lebih 21,000 yang lain.

Dua firma telekomunikasi Palestin turut mengumumkan gangguan rangkaian internet dan komunikasi telefon di Semenanjung Gaza juga kembali tidak berfungsi sejak semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×