100 penduduk Orang Asli bermalam tepi sungai

Gajah ceroboh kampung, 100 penduduk Orang Asli bermalam tepi sungai

ANGGOTA Nature Lifeguard APM Kuala Tahan membantu membina khemah penduduk Orang Asli yang terpaksa berpindah di tepi Sungai Tembeling, Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Seramai 100 penduduk membabitkan 27 keluarga masyarakat Orang Asli etnik Bateq Kuala Atok terpaksa berkhemah dan bermalam di tepi Sungai Tembeling berdekatan Kuala Tahan, di sini selepas rumah mereka diceroboh seekor gajah liar sejak Ahad lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Tok Batin Orang Asli Kuala Atok, Husin Dayak berkata, gajah liar berkenaan sudah tiga malam berturut-turut menceroboh kawasan penempatan penduduk di situ serta merayau mencari makanan dan paling menakutkan menghampiri rumah ketika penduduk sedang tidur.

“Dalam tempoh tiga hari ini, gajah liar ini masuk merayau di tepi hutan berdekatan bermula kira-kira pukul 7 malam dan selepas pukul 10 malam mula menghampiri penempatan kami.

“Bimbang keadaan boleh mengancam keselamatan anak buah di sini, saya menghubungi pasukan Nature Lifeguard Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Tahan dan mereka membantu memindahkan kami ke seberang Sungai Tembeling serta mendirikan khemah bermalam di atas pasir,” katanya di Kuala Atok di sini semalam.

Menurut Husin, kejadian sama kerap berlaku sebelum ini apabila seekor gajah liar berkeliaran berdekatan kampung itu dan pernah menceroboh ruang dapur rumah penduduk untuk mendapatkan makanan.

Katanya, senario ancaman gajah liar juga mengganggu kehidupan penduduk termasuk anak Orang Asli di situ yang masih belajar di sebuah sekolah rendah di Kampung Merting.

Sementara itu, Penyelaras Nature Lifeguard APM Kuala Tahan, Roslan Abu Kassim berkata, mereka bertindak membantu memindahkan seramai 27 buah keluarga Orang Asli di situ ke seberang Sungai Tembeling bagi menjamin keselamatan supaya tidak diganggu gajah liar.

“Dalam tempoh tiga hari ini, kita menyediakan barang keperluan dapur sumbangan Sahabat Jariah Malaysia/Yayasan Food Bank Malaysia dan Pasar Raya Econsave Jerantut yang tidak putus-putus memberikan bantuan setiap kali penduduk Orang Asli diancam gajah liar serta bencana banjir,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Bird Group Taman Negara (BGTN) meminta penduduk Orang Asli yang membuat penempatan berdekatan di kawasan yang selamat dan tidak terlalu jauh ke dalam hutan, boleh dihubungi dengan capaian telefon bimbit supaya segera menghubungi agensi berkaitan bantuan keselamatan serta bantuan tertentu jika berlaku sesuatu bencana. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×