Tak suka saya? Okey sahaja! - Janna Nick - Utusan Malaysia

Tak suka saya? Okey sahaja! – Janna Nick

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INI bukan penulisan puji pujian. Malah, tiada niat untuk meletakkan nama wanita ini dalam carta artis paling baik di Malaysia. Namun ada sesuatu yang harus saya kongsi. Cerita dalam kain yang tidak ramai tahu.

Tatkala Utusan Malaysia ‘rebah’ dua tahun lalu, Janna Nick adalah antara artis pertama yang menghubungi saya. Dia tanpa ragu menawarkan saya untuk ‘bekerja’ dengannya. Kami bersama-sama menghasilkan kandungan untuk YouTubenya.

Tetapi pertemuan kami kali ini bukan untuk mengimbas memori. Malah, bukan juga untuk memberi dia ruang mempertahan diri. Itu sudah didebatkan beberapa hari sebelum ini. Cukup, kisah itu kita tutup sahaja.

Lemas dalam kontroversi yang membadai industri hiburan tanah air, Janna mengakui ada perkara yang menamparnya supaya sedar daripada mimpi. Pelakon ini tahu, tidak semua senang dengannya. Baik dalam kalangan peminat atau selebriti.

Maka, episod kontroversi lalu membuktikan siapa kawan dan siapa lawan. Masing-masing mula menunjukkan belang sebenar. Rakan yang dahulunya berbalas senyuman, kini mengata di belakang. Itu realiti yang harus Janna tempuh.

“Ada hikmah kontroversi itu berlaku. Saya nampak warna sebenar mereka. Tetapi perkara itu tidak memberi kesan kepada saya. Industri ini kecil sahaja. Pusing-pusing, kita akan jumpa juga akhirnya.

“Sebab itu saya tak mahu ambil hati. Saya doakan yang terbaik dan memaafkan sahaja mereka. Dalam pada masa sama, saya juga minta maaf. Ini adalah proses pengenalan dengan ‘lebih dalam’,” katanya seraya tersenyum.

Tiada dendam apatah lagi benci, pelakon, penyanyi dan pengacara ini baik-baik sahaja jika ada rakan artis yang membencinya. Itu lumrah. Dia bukan manusia sempurna. Tetapi dia ada pesanan ringkas untuk mereka.

“Jika tidak suka saya, jangan tegur. Jangan datang dengan senyuman dan bercanda mesra. Janggal rasanya. Saya sendiri mengambil pendekatan untuk buat tak endah sahaja kalau kurang berkenan dengan seseorang.

“Saya bukan seorang yang ego. Tiada sekelumit rasa hebat dalam diri. Kalau mahu kritik, biarlah membina. Nak cakap saya bodoh? Boleh tetapi jelaskan apa kebodohan yang dimaksudkan. Saya bukan jenis pantang ditegur.

“Saya tak mahu rumitkan kepala otak untuk fikir kebencian orang. Saya husnuzon sahaja. Saya tidak suka negativiti. Semoga Tuhan buka hati mereka untuk maafkan saya,” tutur Janna seikhlas hatinya.

Impian Kahwin

Seantero Malaya tahu kisah cintanya dengan pelakon, Dini Schatzmann. Maka, soalan wajib tanya adalah bila agaknya mereka bakal menyatu? Adakah 2021 menjadi tahun keramat mereka memeterai ijab kabul?

Tanpa berlengah, lantas soalan itu ditanya. Disambut dengan tawa, Janna melempar pandangan manja. Tidak manis andai si bunga yang mencanang. Lebih baik biar si kumbang memukul gendang. Itu jawapan Janna.

Tidak menafikan perancangan melangkah ke alam perkahwinan itu ada namun, ada sesuatu yang merantai kakinya. Bukan tidak bersedia menjadi bidadari Dini, tetapi masih ada yang mahu dikejar pelakon Syurga Nur ini.

“Bukan tak nak cuma masa belum sesuai. Dalam keadaan pandemik ini, saya tidak mahu terburu-buru dalam merancang sesuatu. Apa yang saya boleh katakan, perkahwinan itu akan berlaku tetapi bukan dalam masa terdekat.

“Karier seni Dini juga baru bermula. Malah banyak juga perkara yang saya sedang usahakan. Perancangan masa depan adalah penting. Kahwin itu bukan sekadar berseronok. Kita mahu sama-sama masuk syurga.

“Saya juga seorang wanita yang merancang sesuatu dengan rapi. Tak boleh buat main bab kahwin. Sebahagian saya sudah bersedia bergelar isteri, tetapi dalam masa sama ada sebahagian lagi belum,” katanya.

Berbicara soal kerjaya, Janna yang kini bergelar produser dan pengarah belum berpuas hati dengan pencapaiannya. Perjalanannya masih jauh. Di mata orang mungkin dia dilihat hebat tetapi tidak di matanya.

Mengakui dia bukan seorang yang mudah berpuas hati, pelakon Cari Aku Di Syurga ini akan terus memberi yang terbaik dalam hasil kerjanya. Walaupun telemovie pertamanya, Delen mencetuskan kontroversi namun dia bangga.

“Itu cubaan pertama saya. Banyak ilmu baharu yang saya peroleh. Kritikan dan komen itu memberi saya peluang untuk memperbaiki produk-produk seni daripada Janna Nick Studio. Saya seorang yang suka belajar.

“Walaupun karier lakonan sudah masuk usia sedekad, namun sehingga kini saya belum berpuas hati dengan lakonan sendiri. Banyak benda yang saya boleh perbaiki. Susah sebenarnya nak puas hati saya,” katanya disulami tawa.

Seksi dan boyish

Di kala ini, apa sahaja yang dilakukan Janna mungkin ada sahaja yang tidak suka. Dia bagaikan menghembus kebencian kepada segelintir pihak. Pemilihan busana yang semakin seksi juga menjadi buah mulut warganet.

Menjawab dakwaan Janna kini semakin seksi, pelakon ini mengangguk setuju. Dia tidak menafikan namun mengambil teguran itu sebagai satu cabaran. Bukan untuk melawan namun memperbaiki kelemahan diri.

“Mungkin imej boyish saya dahulu mempengaruhi pandangan peminat. Ya, memang saya semakin seksi. Cuma bagi saya, itu imej feminin. Tetapi bila orang cakap terlalu seksi, saya faham dan cuba kurangkan.

“Saya selesa dengan imej sekarang. Biasalah, bukan semua suka kan? Saya tidak mampu puaskan hati semua orang,” kata penyanyi berusia 25 tahun ini.

Menyedari ada mata-mata yang sentiasa memer­hati, Janna mengam­bil pendekatan untuk lebih berhati-hati. Tetapi dia tahu, sindrom ‘aku buat apa pun salah di mata kau’ itu wujud. Maka, dia terima sebulat hati.

“Jangan jadi artis kalau tak mahu dikecam, dikritik. Saya percaya dengan wujudnya penyakit ‘ain itu. Kebencian dari mata. Tak buat apa-apa pun tetap nampak salah. Jadi saya sekarang lebih berhati-hati,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×