BSN, YWM bekerjasama tingkat kutipan wakaf tunai

BSN, YWM bekerjasama tingkat kutipan wakaf tunai

MOHD Na’im Mokhtar dan Jay Khairil (dua, kiri) menyaksikan pertukaran dokumen kerjasama antara Yayasan Waqaf Malaysia dan Bank Simpanan Nasional di Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) menjalinkan kerjasama strategik bersama Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk mempertingkatkan ku­ti­pan wakaf tunai Malaysia se­bagai salah satu elemen pe­merkasaan ekonomi rakyat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menerusi kerjasama ini, BSN menyediakan pelbagai platform pewakafan seperti Ejen Bank BSN (EB BSN), JomPay, mesin juruwang automatik (ATM) atau deposit wang (CDM), perbankan internet myBSN, e-biller dan melalui kaunter di cawangan BSN.

Perkara tersebut bakal memudahkan akses kepada setiap lapisan masyarakat tidak kira di bandar atau luar bandar untuk berwakaf.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, setiap sumba­ngan wakaf terkumpul menerusi kerjasama ini akan ditukar kepada aset tetap (‘ayn wakaf) yang akan memberikan impak dan manfaat kepada masyarakat secara keseluruhannya.

Katanya, sementara menung­gu dana wakaf tersebut mencukupi sebelum ditukarkan kepada aset wakaf, dana ini boleh dilaburkan di produk pelaburan patuh syariah BSN yang mempunyai ciri modal dilindungi bagi tujuan meningkatkan dana wakaf tersebut.

“Hasil daripada pelaburan tersebut yang dikenali sebagai Dana Manfaat Wakaf akan digunakan bagi tujuan membiayai sektor-sektor agihan (berbentuk kebajikan) dan penggunaannya adalah lebih fleksibel.

“Bagi memastikan integriti dan pengurusan dana yang baik, sebuah Jawatankuasa Bersama yang dianggotai oleh YWM dan BSN akan diubuhkan bertujuan untuk mengawal selia pengurusan dan agihan dana wakaf serta dana manfaat wakaf,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan selepas pelancaran dan majlis menandatangani perjanjian kerjasama strategik tersebut di Wisma BSN, Jalan Ampang di sini semalam.

Yang turut hadir, Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil dan Ketua Pengarah Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR) merangkap Naib Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Waqaf Malaysia, Datuk Selamat Paigo.

Sementara itu, Mohd Na’im berkata, terdapat empat sektor agihan dana wakaf hasil kerjasama berkenaan iaitu solar/tenaga, pendidikan, kesihatan dan pembangunan ekonomi.

Beliau menambah, YWM yang telah mencecah kutipan wakaf sebanyak RM6 juta tahun ini tidak menetapkan sasaran jumlah kutipan hasil wakaf menerusi kerjasama tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN