PETALING JAYA: Sindiket tempatan dipercayai bersekongkol dengan sindiket antarabangsa bagi membantu menguruskan penyeludupan dadah ke Australia yang berjaya dibongkar pihak berkuasa negara itu, baru-baru ini.
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, sumber berkata, siasatan mendapati sindiket dadah tempatan itu dipercayai menguruskan penghantaran bahan terlarang tersebut ke Australia selepas tiba ke negara ini dari negara sumber.
“Dadah itu dipercayai transit di negara ini selepas seludup dari sebuah negara Segi Tiga Emas sebelum dibungkus semula untuk diseludup ke Australia.
TEMPATAN
“Pihak berkuasa kini giat mengesan rakyat tempatan yang dipercayai terlibat dengan sindiket penyeludupan tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Jumaat lalu, media melaporkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md. Din mendedahkan, polis mengenal pasti beberapa rakyat tempatan yang dipercayai terbabit sindiket menguruskan penyeludupan dadah ke Australia.
Beliau dilaporkan berkata, pihaknya sudah pun dapat maklumat dari pihak berkuasa Australia dan fokus siasatan sekarang adalah mengenal pasti sindiket dadah yang menyeludup dadah itu.
Pada 12 Oktober lalu, Polis Persekutuan Australia (AFP) dalam satu kenyataan mendedahkan penahanan empat lelaki dengan seorang daripada mereka warganegara Malaysia, berkaitan rampasan dadah jenis methamphetamine seberat 622 kilogram di Melbourne, Australia.
Kontena itu baru tiba di Melbourne melalui kargo laut dari Malaysia pada 4 Oktober.
Hasil pemeriksaan, polis menemukan 622 bungkusan teh emas dan hijau, dengan setiap satu seberat satu kilogram yang disembunyikan dalam palet gulungan kertas tandas.
Dadah dianggarkan hampir AUD$560 juta (RM1.7 bilion) dan tangkapan terdiri daripada dua warga China berusia 33 tahun, seorang warga Malaysia, 34, serta warga Hong Kong, 32, ditahan.
Dua daripada lelaki itu ditahan di lapangan terbang ketika cuba meninggalkan Australia secara berasingan.
April lalu AFP turut merampas 336 kilogram (kg) heroin dianggarkan bernilai AUD268.8 juta (RM789.56 juta) dalam sebuah kontena penghantaran dari Malaysia ke Brisbane, 13 Mac lalu.
Katanya, Pasukan Sempadan Australia (ABF) berjaya mengesan dadah berkenaan disorok dalam dua blok konkrit simen yang masing-masing seberat 500kg.
Menurutnya, semakan mendapati penghantaran itu diisytiharkan sebagai aksesori panel solar dalam kontena itu yang tiba 13 Mac lalu di Pelabuhan Brisbane dari Malaysia. – UTUSAN










