PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menaikan Kadar Dasar Semalam (OPR) pada Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Khamis ini, bagi membendung aliran keluar pasaran modal dan menarik pelabur asing ke Malaysia, kata penganalisis.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, OPR diunjurkan naik sebanyak 25 mata asas kepada 3.25 peratus berbanding 3.00 peratus ketika ini.
Katanya, tindakan tersebut juga seiring dengan langkah-langkah yang dilaksanakan oleh negara-negara lain yang mahu menarik kemasukan pelabur asing.
“Perkara ini sedikit sebanyak akan membantu menstabilkan nilai ringgit dalam jangka masa pendek. Memandangkan kemerosotan ringgit terus berlaku, BNM tidak punya pilihan lain melainkan menaikan OPR sebagai langkah segera mengawal pengaliran modal,” katanya di sini, semalam.
Mengulas kesan jika OPR dinaikkan, Abu Sofian berkata, perniagaan akan terjejas daripada segi pinjaman modal dan kemungkinan permintaan untuk pinjaman modal akan berkurang kerana kos meminjam menjadi mahal.
“Pemaju perumahan akan terkesan kerana pinjaman akan menjadi lebih mahal, mendorong kepada penurunan pembeli dan jualan akan menurun. Bagi individu pula, kos pinjaman menjadi lebih mahal dan terpaksa membayar ansuran yang lebih tinggi,” ujarnya.
Sementara itu, Bloomberg Economics dalam laporannya berkata, pelabur dalam ringgit Malaysia berharap bank pusat akan mengambil tindakan untuk menyokong mata wang negara, berikutan penyusutan berlarutan menghampiri paras paling lemah sejak 1998.
Menurutnya, ini meletakkan keputusan dasar BNM pada Khamis sebagai tumpuan, terutamanya selepas pihak berkuasa di Indonesia dan Filipina baru-baru ini menaikkan kadar faedah untuk menyokong mata wang mereka.
Walaupun Bloomberg Economics menjangkakan tiada perubahan dalam kadar dasar BNM, namun beberapa penganalisis melihat bank pusat itu bakal mengumumkan langkah lain untuk meningkatkan (nilai) ringgit.
“Mungkin terdapat beberapa jawboning untuk mencadangkan bahawa BNM berwaspada terhadap pergerakan ringgit yang menyimpang terlalu jauh daripada asas dan secara spekulatif,” kata Ketua Ekonomi dan Strategi Mizuho Bank Ltd di Singapura, Vishnu Varathan.
Beliau berkata, BNM juga mungkin mengenakan beberapa had sementara pada pertukaran mata wang asing dan dorongan untuk meletakkan deposit mata wang asing dan pelaburan masuk.
Sementara itu, ahli ekonomi Asia Tenggara di Bloomberg Economics, Tamara Henderson berkata, beberapa faktor memihak kepada pegangan, termasuk inflasi yang kembali menghampiri purata jangka panjang di Malaysia.
“Kenaikan tidak mungkin mengubah sentimen ringgit. Walau bagaimanapun, ia akan menambah tekanan pertumbuhan daripada dasar fiskal yang lebih ketat dan permintaan global yang lebih lemah.
“Namun, dengan ringgit menghampiri paras terendah, kenaikan kadar faedah tidak boleh diketepikan,” ujarnya.
Ringgit jatuh kepada 4.7958 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu lepas, paras paling lemah dalam tempoh lebih 25 tahun.
Tambahnya, jika mencecah pada paras terendah 1998 iaitu 4.8850 berbanding dolar AS, ia akan membawa ke paras terendah dalam rekod. – UTUSAN










