PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) melancarkan Program Mentor Syariah, satu inisiatif mentor khusus yang bertujuan untuk membina saluran bakat yang mampan bagi profesional syariah dalam pasaran modal Islam (ICM).
Program beberapa tahun yang dikelolakan oleh ISRA Consulting, anak syarikat milik penuh Universiti INCEIF dan rakan strategik SC itu memberi tumpuan kepada pembangunan profesional syariah yang cekap dengan tahap profesionalisme yang ditingkatkan, kecekapan teknikal dan kepakaran pengawalseliaan.
Pengerusi SC, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata, inisiatif merupakan sebahagian daripada usaha berterusan SC untuk membina ICM yang inovatif dan kompetitif, dengan pembangunan bakat sebagai pemacu utama untuk meluaskan bidang dan kedalaman ICM Malaysia.
“Kerjasama SC dengan ISRA Consulting menegaskan komitmen kami untuk meningkatkan keupayaan dan kebolehan para pengamal ICM dalam tadbir urus syariah.
“Ini khususnya dalam memperkukuhkan syarat kemasukan dan program pembelajaran khusus bagi penasihat syariah,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, program tersebut akan membantu peserta memperoleh pengetahuan yang relevan dan kecekapan teknikal sambil menyokong pertumbuhan ICM di Malaysia.
Tambahnya, kohort pertama yang terdiri daripada 15 pemohon berjaya akan menjalani pembelajaran kelas intensif selama dua bulan dan penempatan latihan industri selama enam bulan di organisasi terpilih.
“Peserta juga akan menerima elaun bulanan sepanjang program tersebut, yang disokong oleh Dana Pembangunan Pasaran Modal (CMDF).
“Sepanjang pembelajaran kelas dua bulan, peserta juga akan menerima bimbingan berstruktur dan pembelajaran daripada ahli Majlis Penasihat Syariah (SAC) SC dan pakar-pakar subjek dalam industri bagi memastikan mereka bersedia untuk peranan penasihat syariah,” ujarnya.
Secara keseluruhannya, beliau berkata, lebih daripada 40 profesional syariah dan graduan baharu dijangka akan menyertai program tersebut yang akan berlangsung selama tiga tahun berturut-turut dengan setiap kohort terdiri daripada 15 peserta.
Kohort pertama menyaksikan sambutan yang luar biasa dari golongan syariah, dengan hampir 300 permohonan diterima daripada graduan baharu dan juga mereka yang berpengalaman.
Untuk maklumat lanjut mengenai Program Mentor Syariah, serta butiran mengenai tarikh permohonan kohort kedua, orang ramai boleh layari www.inceif.edu.my/shariah-mentorshipprogramme/. – UTUSAN











