MELAKA: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah, Batu Berendam di sini, yang mengalami kerosakan hampir keseluruhan di tujuh blok akibat dibadai angin kuat pada Sabtu lalu, memerlukan kos sebanyak RM3 juta untuk baik pulih.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, Kementerian Pendidikan telah menyalurkan bantuan segera berjumlah RM100,000 untuk pelaksanaan kerja-kerja pembersihan.
Katanya, Jabatan Kerja Raya (JKR) menjangkakan proses baik pulih bakal memakan masa enam bulan untuk disiapkan.
“Kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap bencana ribut yang menimpa sekolah pelajar teramai di Melaka berjumlah kira-kira 2,000 orang ini.
“Saya dimaklumkan oleh JKR, proses baik pulih mengambil masa selama enam bulan melibatkan jumlah peruntukan keseluruhan dianggarkan RM3 juta,” katanya selepas meninjau sekolah berkenaan, semalam.
Dalam kejadian pukul 2.40 petang Sabtu lalu, hampir keseluruhan tujuh blok sekolah itu mengalami kerosakan dibadai angin kuat yang dikatakan seperti puting beliung.
Berikutan bencana itu, persediaan peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula semalam turut terjejas kerana kelas yang sepatutnya digunakan mengalami kerosakan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, SMK Munshi Abdullah melakukan sesi penggiliran serta pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) berikutan kerosakan berkenaan.
Katanya, ia melibatkan pelajar tingkatan satu hingga empat.
Katanya, sesi pembelajaran secara bersemuka hanya melibatkan pelajar tingkatan lima dan enam yang berhadapan peperiksaan SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
“Kejadian ribut yang melanda SMK Munshi Abdullah telah menyebabkan banyak kerosakan kecil di beberapa blok, bangunan utama sekolah pula didapati terjejas teruk.
“Susulan itu pelajar tingkatan satu, dua, tiga dan empat akan meneruskan pembelajaran secara penggiliran dan PdPR, sesi pembelajaran berjalan seperti biasa (bersemuka) bagi tingkatan lima dan enam,” katanya. – UTUSAN











