HARI Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Kebangsaan (PPNPK) 2023 akan berlangsung di Ipoh, Perak dari 10 hingga 12 November ini dengan tema Keterjaminan Makanan Untuk Masa Depan. PPNPK anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) diadakan di bawah teraju menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Anak kelahiran Tasek Gelugor, Pulau Pinang ini berpengalaman luas dalam politik sejak 1981. Beliau beberapa kali menjadi ahli Parlimen sejak 1990 di Kelantan, Kedah dan kini kawasan Kota Raja, Selangor.
Sebagai ahli Parlimen veteran pembangkang sebelum ini (kecuali Mei 2018 hingga Februari 2020), Mohamad telah lama membawa suara rakyat luar bandar kebanyakannya masih miskin khususnya yang terlibat dalam pertanian.
Sebaik sahaja dilantik Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad berjaya menyelesaikan masalah bekalan ayam dan telur dengan tindakan pantas mengimport dari negara luar. Sejak September lalu, kepimpinannya diuji lagi dengan kekurangan beras tempatan dan harga beras import pula naik melambung daripada RM2,350 per tan metrik kepada RM3,200.
Mohamad mempunyai empat tahun lagi sebelum berakhirnya penggal kerajaan madani untuk membuktikan keberkesanan kepemimpinannya.
Sejarah akan menilai sama ada keberadaannya di kementerian itu sekadar memberikan jaminan bekalan makanan negara cukup sebab diimport atau cukup kerana penghasilan dalam negara.
KPKM harus meneliti kembali ucapan panjang ahli Dewan Rakyat kawasan Parit Buntar, Datuk Dr. Hasan Mohd. Ali di Parlimen, 23 tahun lalu, iaitu 2 Mac 2000 mengenai kerajaan yang dilihatnya tidak memberikan perhatian serius memartabatkan bidang pertanian negara.
“Pada hemat saya, paling tragis dalam hal ini ialah negara kita terpaksa mengimport komoditi strategik seperti beras dari luar. Cuba bayangkan jika tiba-tiba timbul satu keadaan krisis, apakah agaknya tindak balas kita?” soalnya.
10 tahun kemudian, iaitu 22 September 2010, seorang pembaca Utusan Malaysia, Siti Nuraisyah Umirah berkata, “Saya ingin meluahkan kekecewaan yang amat sangat terhadap Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani kerana bagi pendapat saya, sehingga kini masih gagal melakukan sesuatu yang baharu untuk membantu petani dan juga penternak tempatan.
“Apakah Ketua-Ketua Pengarah di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mendengar kata dan melaksanakan tanggungjawab diarahkan oleh menteri untuk melihat petani dan penternak tempatan berjaya?” soalnya.
KPKM setiap tahun memperoleh peruntukan tinggi dalam belanjawan tahunan negara. Bagi 2024 memperoleh RM6.17 bilion. Namun, kebanyakan rakyat yang terlibat dalam bidang pertanian berskala kecil khususnya masih tidak dapat keluar dari belenggu kemiskinan akibat beberapa faktor seperti kekurangan ilmu, kemahiran, peranan orang tengah dan kerenah birokrasi.
PADANG RAGUT
Tidak dinafikan, KMKM menawarkan banyak program, aktiviti, bantuan dan insentif setiap tahun kepada peladang, penternak dan nelayan. Di samping itu terdapat 15 institut latihan pertanian di bawah seliaan Bahagian Latihan Pertanian Kebangsaan untuk belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
KPKM juga mempunyai 17 jabatan dan agensi dalam memastikan kecukupan makanan mengikut kerangka disarankan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FOA).
Namun, setelah persidangan demi persidangan, diskusi, pandangan pakar-pakar pertanian, mesyuarat demi mesyuarat, lawatan kerja pegawai KPKM ke luar negara dan bermacam-macam usaha lain, Malaysia masih gagal memastikan tahap sara diri (SSL) dalam banyak hasil makanan negara berjaya.
Sebagai peladang, saya tidak berputus asa mencari jawapan mengapa negara yang mempunyai 330,000 kilometer (km) persegi keluasan tanah dan 4,675 km pantai tidak berupaya menjaga sekuriti makanan?
Pada Januari lalu, saya serahkan satu dokumen Kisah Padang Ragut Bidor, Perak kepada menteri. Dokumen 71 muka surat itu mengenai keberanian seorang pegawai bank memilih menjadi penternak di padang ragut seliaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV). Saya ikuti perkembangan dan perjalanan usahanya dari hari pertama dia berada di kawasan itu.
Dokumen itu turut disertakan senarai 16 tajuk penulisan dihasilkan melalui pemerhatian, penyelidikan ilmiah dan temu bual dengan pegawai KPKM serta penternak selama 28 tahun (1995-2023). Sangatlah menarik mengikuti gelagat pegawai dari peringkat bawah hinggalah peringkat tertinggi menangani isu-isu dibangkitkan oleh penternak dari semasa ke semasa.
Dokumen itu turut mengandungi huraian ucapan bekas menteri, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 6 Januari 2020 kepada warga kementeriannya. Tanpa berselindung, beliau menyatakan terdapat banyak aspek kelemahan dan kekurangan perlu diperbetulkan segera dalam usaha meningkatkan hasil makanan negara dan nasib mereka yang terlibat dalam bidang pertanian dibantu dan dihargai.
Nyatalah KPKM masih diselubungi kerenah birokrasi tebal yang menghalang kemajuan bidang pertanian negara. Tanpa mengkaji secara mendalam sesuatu perkara dibangkitkan, KPKM tidak berupaya menyelesaikan masalah diutarakan secara objektif berlandaskan konsep rahmatan lilalamin. Dalam banyak perkara, KPKM memilih strategi penafian terhadap isu. Apabila sesuatu perkara dinafikan, bermakna tiada proses penyelesaian masalah. Masalah dibiarkan tanpa penyelesaian, natijahnya negara berterusan menghadapi isu sama tanpa tindakan pembetulan.
Contohnya, semasa menghadiri sesi soal jawab cadangan Belanjawan 2024 JPV sempena Sambutan Hari Veterinar dan Hari Kebajikan Haiwan 2023 di Serdang, Selangor pada 24 hingga 27 Ogos lalu.
Didapati kebanyakan yang dibangkitkan merupakan isu remeh, iaitu mutu perkhidmatan JPV, sewaan tanah, baka dan masalah birokrasi seperti kesukaran memohon kebenaran jabatan bagi pergerakan haiwan dari satu negeri ke negeri semasa pejabat ditutup. Isu-isu ini sepatutnya telah diselesaikan oleh KPKM, 40 tahun lalu.
Mengapalah isu-isu lazim seumpama itu masih membelenggu para penternak pada abad ke-21?
Rakyat menaruh harapan tinggi terhadap visi dan misi KPKM di bawah Mohamad agar dapat membantu negara meningkatkan pengeluaran makanan dalam negara dan masa depan peladang, penternak dan nelayan terbela. – UTUSAN
Penulis ialah peladang dari Bidor, Perak.










