MUKADIMAH
HANYA beberapa hari selepas berpisah secara kontroversi dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Ogos lalu, jurulatih legenda, Datuk Misbun Sidek dihujani tawaran untuk melatih di luar negara.
Ia bukan sesuatu yang mengejutkan kerana dengan namanya yang gah, sama ada ketika bergelar pemain mahu pun jurulatih ramai berminat untuk menggunakan kepakaran tokoh badminton berusia 63 tahun itu.
Dalam pertemuan bersama wartawan Mingguan Malaysia, NORZIE MOHD. KHASBI di Kuala Lumpur baru-baru ini, Misbun berkongsi perancangan masa depannya, Olimpik Paris 2024, selain impian untuk menerbitkan buku autobiografi suatu hari nanti.

Anda menerima banyak tawaran dari luar negara, apakah anda sudah memutuskan ke mana akan meneruskan kerjaya, berkhidmat untuk jangka pendek atau panjang?
Tempoh (kontrak) tidak penting. Apa yang penting saya mendapat sokongan dan kuasa penuh untuk menjalankan program tanpa gangguan. Ada beberapa tawaran dari Asia dan Eropah, saya tidak boleh dedah kerana dalam proses penilaian, namun saya tertarik dengan negara yang memiliki kumpulan pemain yang besar, dan mereka benar-benar berminat untuk menerima ilmu saya.
Mengapa ramai jurulatih kita cenderung untuk berjaya apabila bekerja di luar negara tetapi tidak di dalam negara?
Saya mempunyai jawapan mudah untuk ini. Kita memandang ringan jurulatih tempatan. Maksud saya, kita terlalu selesa dan akrab dengan mereka hingga menganggap apa yang mereka ajar perkara ‘biasa-biasa’.
Namun, bila jurulatih tempatan ini ke luar negara, terutama yang ada nama, pemain asing menunjukkan rasa hormat serta menghargai kepakaran mereka. Sebenarnya perkara Ini berlaku di mana-mana. Kita terlalu memandang tinggi jurulatih asing.
Apa yang anda lakukan sementara menunggu untuk memutuskan tawaran di luar negara?
Saya melatih pemain-pemain muda di Nusa Mahsuri, selain itu aktif memancing iaitu hobi saya sejak sekian lama. Baru-baru ini saya menangkap ikan yang sangat banyak di satu kolam di Kuala Langat, dan pemiliknya membuat ‘live’ di media sosial. Hanya dalam beberapa jam, lebih 60,000 orang menontonnya.
Saya juga teruja dengan pameran ‘Anak Sidek’ yang akan berlangsung di Muzium Sultan Alam Shah di Shah Alam selama enam bulan bermula 1 November ini. Kami adik-beradik sibuk mengorek semua trofi dan memorabilia kami untuk dipamerkan. Sebagai abang, saya membantu untuk menyelaras. Kemasukan adalah percuma. Kami akan berada di hari pelancaran (tarikh belum ditentukan). Sangat teruja untuk menjadi sebahagian daripada ini.

Dengan semua tumpuan kini terarah kepada Sukan Olimpik Paris tahun depan, sejujurnya, apakah anda rasa Malaysia berpeluang memenangi pingat emas pertama?
Peluang sentiasa ada untuk Malaysia dalam Sukan Olimpik. Ingat lagi edisi Sydney 2000, Ji Xinpeng (China) bukanlah pencabar yang kuat tetapi dia menang, begitu juga Paul-Erik Hoyer Larsen (Denmark), dia tidak terlalu menonjol sehinggalah dia berjaya memenangi emas Olimpik (Atlanta 1996).
Saingan perseorangan lelaki sekarang amat terbuka, hanya Viktor Axelsen (Denmark) mempunyai sedikit kelebihan. Jika Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong layak ke Paris, mereka juga berpeluang.

Pernahkah anda melihat pemain yang berkaliber tergelincir dalam sistem?
Terdapat beberapa orang tetapi salah seorang pemain yang saya harap kekal ialah Lim Chong King (juara perseorangan lelaki kebangsaan dua kali). Dia mempunyai asas, fizikal dan keazaman. Dia bagaimanapun berdepan masalah kecederaan. Dia akan pergi jauh jika dia diuruskan dengan baik.
Sepanjang tempoh dua kali anda menjadi jurulatih di BAM, apakah anda mendapat kepuasan?
Sejujurnya tidak. Saya tidak mencapai apa yang saya inginkan iaitu membentuk pemain dari bawah sehingga bergelar jagoan dunia. Saya tidak dapat melalui semua proses itu. Jika ada pemain yang saya bentuk dari bawah sudah bagus kemudian di peringkat senior, dia diserahkan pula kepada jurulatih lain.
Kalau pun ada sedikit kepuasan adalah melatih (Datuk) Lee Chong Wei dan beberapa yang lain tetapi saya tidak dapat mencapai kepuasaan itu baru-baru ini sebagai pengarah kejurulatihan remaja kebangsaan.

Apa lagi perkara yang mampu memberi kepuasaan atau ingin anda lakukan tapi belum berpeluang?
Saya sebenarnya mahu membukukan perjalanan hidup saya, dari permulaan keluarga Sidek, kemudian bergelar pemain kebangsaan, jurulatih, jatuh dan bangun, semuanya saya ingin kongsi kepada peminat badminton.
Sudah tentu, ada banyak rahsia yang mahu saya ceritakan kepada semua tapi saya menunggu masa dan orang yang sesuai untuk membantu memulakan projek ini.










