PETALING JAYA: Citaglobal Bhd. sedang memperluaskan bidang perniagaan tenaga boleh diperbaharui dan telekomunikasi, dengan pembelian 30 peratus saham dalam syarikat sistem kabel bawah laut iFACTORS Sdn. Bhd. pada nilai RM25.2 juta.
Perjanjian itu dijangka akan memberi manfaat kepada pendapatan Citaglobal, yang mana pembelian dilengkapi dengan jaminan keuntungan bersih selama dua tahun sebanyak RM21 juta, dan iFACTORS mempunyai buku pesanan sebanyak RM528 juta.
Dalam kenyataan, syarikat itu berkata, Citaglobal juga mempunyai pilihan untuk membeli tambahan 21 peratus saham iFACTORS setelah jaminan keuntungan sebanyak RM21 juta telah tercapai.
“Untuk pengambilalihan ini, Citaglobal akan membeli 30 peratus saham melalui gabungan tunai dan saham pertimbangan baru yang berharga RM1.50 setiap satu,” katanya.
Untuk pengambilalihan itu katanya, Citaglobal telah melaksanakan perjanjian langganan untuk melanggan 157,894 saham biasa baharu yang merangkumi 5 peratus saham dalam iFACTORS dengan harga RM4 juta secara tunai.
Selain itu, perjanjian pembelian saham (SPA) telah dilaksanakan dengan penjual, Abu Bakar Sutan Taharudin, untuk pembelian 789,475 saham iFACTORS yang merangkumi 25 peratus saham dengan harga RM21.2 juta.
SPA itu akan dilaksanakan dengan cara bayaran tunai RM10 juta dan RM11.2 juta melalui terbitan 7,466,666 saham biasa baharu di Citaglobal pada harga terbitanm RM1.50 sesaham pertimbangan.
Apabila cadangan ini selesai, Citaglobal akan memegang 30 peratus kepentingan dalam iFACTORS. Baki 70 peratus kepentingan ekuiti dalam iFACTORS akan dipegang secara kolektif oleh vendor, Abu Bakar dan Vivi Anah Madzlan yang merupakan pegang saham sedia ada iFACTORS, jelasnya.
Mengulas perkembangan itu, Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal, Tan Sri Dr. Mohamad Norza Zakaria berkata, pemerolehan itu membuka akses segera kepada pasaran sistem kabel dasar laut yang menguntungkan.
Kata beliau, walaupun kepakaran dan semangat pasukan di iFACTORS telah membawa kepada buku pesanan mereka yang sihat dan pertumbuhan yang mengagumkan, Citaglobal mempunyai niat untuk membawa iFACTORS ke tahap yang lebih tinggi, selaras dengan strategi Kumpulan.
“Lembaga Pengarah yakin usaha niaga ini ke dalam perniagaan kabel dasar laut akan membolehkan Kumpulan mempelbagaikan pendapatan dan aliran pendapatannya, meningkatkan keuntungan kami dan mencipta nilai untuk para pemegang saham kami,” katanya.
Sementara itu, Abu Bakar yang juga Pengasas iFACTORS berkata, pihaknya gembira diberi peluang untuk bekerjasama dengan syarikat yang menarik dan cemerlang seperti Citaglobal.
“Kami sangat mengalu-alukan Citaglobal sebagai pemegang saham dan rakan kongsi perniagaan kami. Kami berharap dapat memanfaatkan rangkaian dan kenalan Citaglobal, dalam mengubah iFACTORS menjadi syarikat yang lebih dinamik pada masa hadapan,” katanya.
Perjanjian disasarkan untuk diselesaikan pada suku pertama 2024. Astramina Advisory bertindak sebagai penasihat kewangan kepada Citaglobal untuk cadangan pemerolehan berkenaan. – UTUSAN










