PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) menjelaskan, pihaknya dan industri kewangan sentiasa berkongsi maklumat mengenai kemungkinan ancaman yang berlaku dalam ruangan siber.
Menurut Bank Pusat itu, notis Platform Risikan Ancaman Siber Sektor Kewangan (FinTIP) dikeluarkan secara rutin kepada institusi kewangan dan rakan kerjasama mereka yang berkaitan.
“FinTIP sentiasa memantau landskap siber dan akan memaklumkan tentang kemungkinan ancaman baharu termasuk peningkatan aktiviti penggodaman.
“Notis FinTIP membolehkan institusi kewangan mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya bagi melindungi sistem mereka dan mengelakkan sebarang kemungkinan gangguan terhadap perkhidmatan kewangan,” katanya dalam kenyataan.
BNM mengeluarkan kenyataan itu mengulas laporan yang tersebar di media sosial mengenai Bank Pusat itu mengeluarkan amaran kemungkinan serangan siber terhadap institusi kewangan dalam negara.
Menurut laporan, dalam notis yang tular itu, terdapat 10 kumpulan penggodam pro-Israel dikesan berkemungkinan melakukan serangan balas dendam susulan tindakan penggodam Malaysia DragonForce melancarkan Operasi Badai Al-Aqsa, baru-baru ini.
Kumpulan berkenaan ialah Team UCC Operations or Unknown Cyber Cult, Kerala Cyber Xtractor, SilentOne, Indian Cyber Force dan Garuna Ops.
Selain itu, Israel Cyber Defence, Termux Israel, Anonymiss, Gaza Parking Lot Crew dan Silencer of Evil. – UTUSAN










