Sultan Ibrahim sentiasa pastikan yang terbaik untuk rakyat

Sultan Ibrahim sentiasa pastikan yang terbaik untuk rakyat

SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar walaupun tegas, namun disayangi oleh rakyat jelata. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENYEBUT tentang Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, rakyat pasti sebulat suara menyifatkan baginda sebagai seorang pemimpin berjiwa rakyat, tapi tegas, lantang dan berani bersuara dengan orang politik demi kepentingan rakyat dan negara.

Bahkan ada dalam kalangan rakyat menyifatkan baginda sebagai seorang sultan yang sangat garang, namun dalam garang-garangnya itu baginda masih tetap di hati, dihormati dan disayangi rakyat jelata. Mana tidaknya, sifat baginda yang tidak teragak-agak menegur barisan pemimpin negara apabila menyedari ada dalam kalangan ahli politik bertindak melampaui batas adalah sesuatu sangat disanjungi kerana baginda sentiasa inginkan yang terbaik buat negara dicintainya.

Pada 12 Ogos 2021, Sultan Ibrahim mengingatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Johor supaya tidak menjadikan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai medan perbalahan politik dan perebutan kuasa.

“Ingin saya ingatkan, DUN ini tempat untuk berbincang dan membuat ketetapan bagi kepentingan rakyat dan negeri Johor.

“Jangan cemarkan dewan ini dengan perangai buruk, ini adalah dewan mulia bukan dewan sangkar beruk,” titah baginda dengan begitu tegas.

Sebagai payung negara, baginda juga tidak mahu negara terus dihimpit reputasi buruk akibat amalan rasuah. Baginda menggesa agar kerajaan dan agensi berkaitan membersihkan pentadbiran dengan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pelaku rasuah yang disifatkan oleh baginda sebagai kanser yang menjejaskan reputasi negara.

“Ubah. Bersihkan seluruh sistem dan bersihkan yang korup, tidak kira siapa pun mereka. Tidak kira sama ada usia mereka mencecah 100 (tahun) atau belum mencapai 100. Tiada alasan,” titahnya.

Sementara pada Mac lalu, baginda ketika merasmikan pembukaan penggal Sidang Kedua DUN Johor ke-15 bertitah, gelaran pembangkang yang diberikan kepada ADUN di pihak bukan kerajaan, kurang sesuai.

“Ini kerana peranan mereka bukan hanya membangkang segala cadangan pihak kerajaan, tetapi mereka bertanggungjawab menjadi pengimbang dan pemeriksa terhadap tindakan kerajaan supaya tidak berbuat sesuka hati,” titahnya.

Baginda juga disifatkan sebagai seorang sultan yang sentiasa berfikir di luar kotak apabila menyifatkan kejayaan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad yang membawa kemenangan besar buat Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) masih belum melayakkan beliau menjadi Menteri Besar walaupun usaha itu di bawah terajunya.

Semalam, Sultan Ibrahim dipilih dalam mesyuarat khas Majlis Raja-Raja Melayu sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17, menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan baginda akan dimasyhurkan pada 31 Januari tahun depan.

Lebih sedekad menaungi negeri, Sultan Ibrahim melakar sejarah tersendiri dalam membawa Johor menjadi sebuah negeri yang semakin maju.

Malah, kini Johor Bahru mempunyai tiga pihak berkuasa tempatan berstatus bandar raya, iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG).

Dimasyhurkan sebagai Sultan Johor kelima pada 23 Januari 2010 susulan kemangkatan ayahandanya, Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail, Sultan Ibrahim bukan sahaja terkenal sebagai sultan yang mampu mengukuhkan lagi perpaduan dalam kalangan Bangsa Johor yang terdiri daripada pelbagai kaum, malah amat prihatin tentang kebajikan rakyat jelata.

Bagi membantu rakyat jelata khususnya golongan memerlukan serta ditimpa musibah, Sultan Ibrahim mencetuskan idea menubuhkan Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).

Bukan itu sahaja, Permaisuri Johor turut menubuhkan Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) serta bagi membantu pesakit kanser, turut ditubuhkan Yayasan Kanser Tunku Laksamana Jalil (YKTLJ).

Malah, semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran pandemik Covid-19, yayasan yang ditubuhkan kerabat diraja Johor telah membantu ramai rakyat Johor yang memerlukan.

Bukan itu sahaja, yang terbaru, YSIJ menyumbangkan 10,000 kampit beras kepada Bangsa Johor yang memerlukan di semua 10 daerah.

Semasa dilantik sebagai Tunku Mahkota Johor, Sultan Ibrahim berusaha bukan sahaja untuk mendekati rakyat, malah membantu mereka menerusi program Kembara Mahkota Johor (KMJ) yang diilhamkan baginda.

Program itu dimulakan pada 2001, kini menjadi salah satu ikon bagi Johor dan sentiasa dinanti-nantikan pada setiap tahun kerana Sultan Ibrahim bukan sahaja menjelajah ke seluruh negeri, malah membawa bersama-sama ahli keluarga baginda untuk mendampingi rakyat jelata. Nyata naluri baginda sentiasa dekat dan amat memahami kehendak rakyat jelata.

Sikap prihatin baginda turun padang bagi meninjau kehidupan dan menyelami susah senang masyarakat membina kredibiliti baginda sebagai pewaris takhta yang mesra rakyat.

Dalam bidang sukan, baginda gemar bermain polo dan menunggang motosikal berkuasa tinggi serta turut memiliki lesen memandu kereta api.

Seluruh rakyat jelata merafak sembah setinggi-tinggi tahniah atas lantikan Sultan Ibrahim sebagai Ketua Negara dan panji agama Islam negara. Daulat Tuanku! – UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×