Ekonomi Malaysia dijangka terus menyederhana

Ekonomi Malaysia dijangka terus menyederhana

KRISIS global dijangka memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi negara. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia dijangka terus menyederhana dengan Indeks Pelopor (IP) mencatatkan marginal negatif 0.5 peratus pada Ogos 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

IP ialah alat yang digunakan untuk meramalkan arah aliran ekonomi secara purata empat hingga enam bulan ke hadapan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, kadar pertumbuhan tahunan Indeks Pelopor terus menyederhana pada Ogos 2023 dengan mencatatkan marginal negatif 0.5 peratus kepada 109.7 mata berbanding negatif 1.0 peratus pada bulan sebelumnya.

Empat komponen menyumbang secara positif kepada indeks tersebut terutamanya Bilangan Unit Kediaman yang Diluluskan Pembinaan sebanyak 245.7 peratus, diikuti Indeks Perusahaan Bursa Malaysia (15.2 peratus), Bilangan Syarikat Baru Didaftar (13.1 peratus) dan Import Benar Logam Asas Berharga & Logam Bukan Ferus Lain (3.6 peratus).

Sebaliknya, Import Benar Semi Konduktor terus menunjukkan penurunan (-31.9 peratus).

“Melihat kepada prestasi bulanan, IP menunjukkan negatif 0.8 peratus pada Julai 2023 tetapi melonjak semula kepada 0.7 peratus pada bulan rujukan, akibat daripada peningkatan ketara dalam Import Benar Logam Asas Berharga & Logam Bukan Ferus Lain ( 0.9%),” katanya dalam ke­nyataan sempena laporan Penunjuk Ekonomi Malaysia: Indeks Pelopor, Serentak dan Susulan Bagi Ogos 2023, semalam.

Mohd. Uzir berkata, kadar pertumbuhan IP terlicin Ogos 2023 kekal di bawah aliran 100.0 mata, menjangkakan ekonomi Malaysia akan terus menyederhana disebabkan ketidaktentuan ekonomi global walaupun permintaan domestik kukuh.

Beliau berkata, merujuk kepada senario ekonomi semasa, Indeks Serentak (IS) mencatatkan pertumbuhan 2.1 peratus kepada 123.6 mata pada Ogos 2023 berbanding 121.0 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Peningkatan itu disumbangkan oleh semua komponen ke­­cuali Indeks Pengeluaran Perindustrian (-0.4 peratus). Perubahan bulanan IS pula menca­tatkan 0.04 peratus untuk mencapai 123.6 mata berbanding 123.5 mata pada Julai 2023, disokong terutamanya oleh peningkatan Jumlah Guna Tenaga, Pembuatan (0.4 peratus). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×