PETALING JAYA: Kumpulan Medic Iman Sdn. Bhd. (KMI Healthcare) anak syarikat TDM Berhad, dan Hospital Bersalin Razif (HBR) telah memeterai Perjanjian Jualan Saham (SSA) bagi memperoleh kepentingan 100 peratus kepentingan hospital berkenaan.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, TDM Berhad memberitahu, pengambilalihan melibatkan pelaburan berjumlah RM15 juta yang akan dibayar secara tunai.
Jelasnya, urus niaga yang berada di peringkat akhir itu masih tertakluk kepada pemenuhan duluan syarat.
Dalam kenyataan berasingan, KMI Healthcare memberitahu, HBR mempunyai kapasiti katil sebanyak 35 dengan lebih 20 tahun kehadiran di Klang, Selangor.
Majlis pemeteraian SSA telah diadakan di Kuala Lumpur, kelmarin. Ia diadakan bersempena Persidangan Kualiti KMI yang dihadiri 100 pemain industri, disusuli dengan majlis makan malam penghargaan untuk 200 pemegang kepentingan syarikat itu.
Pengerusi TDM Berhad, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dalam kenyataan berkata, pemeteraian perjanjian merupakan kejayaan besar bagi Kumpulan dan akan membawa lebih banyak pemangkin untuk KMI Healthcare agar terus berkembang maju.
“Hospital Bersalin Razif dan akan menjadi hospital keenam di bawah rangkaian KMI Healthcare melalui pengembangan `brownfield’nya,” katanya.
Menurut KMI Healthcare, Syarikat berbangga menjadi salah satu bahagian perniagaan yang pesat berkembang di bawah sayap pelaburan TDM Berhad, syarikat sekuriti patuh syariah yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad.
Sejak penubuhannya, kapasiti katil di hospital KMI telah berkembang secara progresif untuk mempercepatkan kelajuan ke pasaran dalam tempoh lima tahun akan datang.
Selaras dengan komitmen untuk menyokong slogan `Menerajui Kehidupan Sihat’, KMI Healthcare telah memperoleh reputasi sebagai penyedia penjagaan kesihatan yang dipercayai dan menjadi pilihan dalam komuniti sekitar hospital.
“Dalam perancangan masa hadapan, KMI Healthcare berazam untuk mencapai lebih kejayaan dengan strategi dan rancangan perniagaan yang kukuh, menambah lebih nilai kepada perkhidmatannya,” katanya. – UTUSAN










