Turapan asfalt adalah sangat bernilai. Ia dapat dibina dengan mudah pada kos rendah, mempunyai nilai jalan tinggi dan tahan lama. Namun ia tetap terdedah kepada beberapa kerosakan, khususnya apabila bahan bermutu rendah atau teknik pembinaan cuai digunakan.
Apabila turapan menghampiri hayat reka bentuknya, kerosakan dijangka berlaku disebabkan kesan persekitaran dan beban lalu lintas berulang. Perlu diingati, kerosakan berlaku pada permukaan disebabkan beberapa faktor yang perlu dikenal pasti dengan tepat sebelum tindakan pembetulan sesuai dilaksanakan.
Hampir setiap hari akhbar-akhbar utama tempatan memaparkan berita tentang jalan berlubang.
Sebenarnya jalan berlubang ini hanya merupakan salah satu daripada 17 jenis kerosakan jalan raya?
Kerosakan ini boleh dikategorikan kepada empat kelas utama dan dinilai bergantung kepada tahap, di antaranya adalah retakan, herotan, penyepaian dan kehilangan rintangan kelincir permukaan.
Retakan berpunca daripada pelbagai faktor, antaranya tegasan daripada beban gandar, perubahan suhu di dalam lapisan campuran asfalt, atau perubahan lembapan dan suhu di dalam lapisan dasar.
Jenis retakan pada turapan perlu dikenal pasti dengan tepat untuk menilai punca, seterusnya melaksanakan teknik pembaikan bersesuaian. Antara jenis retakan ialah retakan lesu (buaya), membujur, melintang, blok, pantulan, gelinciran dan pinggir.
Retakan lesu contohnya, boleh menyebabkan pembentukan lubang jalan apabila kepingan berasingan campuran asfalt terpisah secara fizikal daripada bahan bersebelahan dan tertanggal daripada permukaan turapan disebabkan tindakan lalu lintas.

Retakan herotan dicirikan oleh perubahan kekal dalam bentuk turapan atau lapisan turapan. Herotan paling biasa berlaku pada lebuh raya luar bandar ialah pengeluman (kesan) laluan roda.
Walau bagaimanapun di kawasan bandar dan di persimpangan yang kenderaan berat bergerak perlahan atau berhenti dengan kerap, kedua-dua pengeluman dan penolakan boleh berlaku.
Dalam sesetengah keadaan, pengombakan atau gelombang boleh terbentuk jika campuran asfalt tidak stabil ditempatkan di persimpangan. Keluman sedalam 13 milimeter (mm) tidak dapat diterima sama sekali dari sudut keselamatan.
Apabila air mula bertakung di dalam laluan roda, kenderaan yang bergerak pantas mungkin akuasatah dan ini membahayakan keselamatan pengguna kenderaan.
Penyepaian ialah pemecahan permukaan struktur jalan.
Ia biasanya melibatkan kehilangan suatu kepingan komponen berasingan campuran asfalt daripada satu sama lain. Penyepaian biasanya berlaku sebagai pemburaian, kehilangan haus, pelucutan dan lubang jalan.
Turapan terburai dengan teruk boleh menimbulkan masalah keselamatan jika bahan terlelas menghasilkan lekukan cukup dalam untuk menakung air pada permukaan turapan.
Kurangkan kerosakan jalan
Pembentukan lubang jalan sering berlaku ketika tempoh hujan lebat kerana air menyusup ke dalam permukaan campuran asfalt melalui retakan lalu melembutkan lapisan asas berbutir.

Pembentukan lubang boleh diminimumkan dengan menyediakan saliran permukaan dan sub-permukaan yang baik. Jika kerosakan penyepaian ini tidak dirawat pada peringkat awal, turapan tersebut pasti memerlukan penyelenggaraan pemuliharaan.
Kehilangan rintangan kelincir permukaan ialah bahaya kelincir berkait dengan permukaan licin, yang mempunyai kesan langsung ke atas keselamatan. Berbeza daripada kerosakan permukaan lain, permukaan licin tidak mempengaruhi kemerosotan struktur turapan.
Permukaan licin boleh disebabkan penggilapan dan lelasan permukaan agregat atau penjujuhan asfalt. Kedua-dua faktor ini mengurangkan makro-struktur dan mikro-struktur permukaan turapan dan rintangan kelincir permukaan daripadanya.
Permukaan menjadi lebih licin dengan kehadiran air. Dengan itu menjadikan permukaan asfalt lebih berbahaya. Air berlebihan boleh menyebabkan akuasatah, keadaan menghapuskan rintangan kelincir.
Bagi mengatasi masalah kerosakan ini, aktiviti penyelenggaraan boleh dilaksanakan. Ia dikelaskan kepada dua kaedah iaitu penyelenggaraan pencegahan dan pembetulan.
Kedap permukaan adalah penyelenggaraan pencegahan terdiri daripada pembubuhan asfalt atau pembubuhan asfalt dan agregat pada permukaan. Lazimnya ia dibubuh untuk membalik-mudakan asfalt atau merencatkan pengoksidaan asfalt pada permukaan.
Ia turut memulihkan rintangan kelincir permukaan, mengedap retakan halus terbentuk pada permukaan, mencegah penerobosan air ke dalam struktur turapan melalui penyusupan air melalui lapisan asfalt campuran panas dan merencatkan pemburaian agregat daripada permukaan terluluhawa yang menyepai.
Kedap paling kerap digunakan pada permukaan campuran asfalt ialah kedap kabut, pembalik muda, kedap serpih atau permukaan rawatan dan kedap buburan. Umumnya, penyelenggaraan pembetulan terdiri daripada tampalan, kedap serpih dan lapisan tindihan campuran asfalt nipis.
Walaupun penyelenggaraan pencegahan dan penyelenggaraan pembetulan membantu memanjangkan hayat berguna turapan, ia masih perlu dipulihkan. Pemulihan perlu dilakukan lebih awal daripada jangkaan apabila lalu lintas adalah lebih tinggi daripada yang dianggarkan.
Bergantung pada jenis kerosakan, agensi lebuh raya menggunakan pelbagai teknik pemulihan.
Antaranya kitar semula permukaan panas, lapisan tindihan nipis, lapisan geseran gred terbuka, pengisaran, kitar semula struktur, lapisan tindihan struktur dan lapisan pelega retakan atau rawatan.
Jabatan Kerja Raya Malaysia dan pihak berkuasa tempatan mengambil langkah proaktif dengan menyediakan platform bagi kemudahan orang ramai membuat aduan atau maklumat berkaitan kerosakan jalan raya. Antaranya kempen Zero Pothole dan Aduan Potholes DBKL yang aktif dijalankan.
Namun kempen ini dilihat wajar diperluaskan kepada kempen Zero Road Defects. Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, kita perlu melaporkan secepat mungkin terhadap kerosakan kecil jalan untuk mengelakkan penularan kerosakan yang lebih besar lagi.
Sebagai contoh, retakan-retakan kecil di permukaan jalan perlu terus dilaporkan tanpa perlu menunggu sehingga terbentuknya lubang jalan agar penilaian yang sewajarnya dapat diambil oleh pihak berwajib.
Jalan sangat rentan terhadap kerosakan terutamanya ketika musim banjir. Justeru, pastikan semasa jalan direka bentuk, paras banjir dan pembangunan persekitaran diambil kira. Highway bermaksud laluan tinggi dari sekitar.
Sistem perparitan di sepanjang jalan sentiasa diutamakan dan dibersihkan supaya laluan air lancar.
————–
Prof. Dr Mohd Rosli Hainin ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa Universiti Malaysia Pahang manakala Prof Madya Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff ialah pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Awam Univerisiti Kebangsaan Malaysia (UKM).










