JARIS pastikan kes rasuah tidak ‘terlepas’

JARIS pastikan kes rasuah tidak ‘terlepas’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KES-KES rasuah berprofil tinggi dan berkepentingan awam sentiasa menarik perhatian umum. Operasi besar-besaran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melumpuhkan sindiket dan kartel seperti Op Tropicana (sindiket scammer), Op Jaguar (sindiket melupuskan sisik tenggiling), Op Hire (tuntutan palsu Penjana Kerjaya) adalah hasil siasatan dan risikan pegawai penyiasat SPRM. Walaupun siasatan dan operasi dilihat sebagai teras suruhanjaya ini, namun ia hanya sebahagian daripada fungsi dan peranannya seperti dihuraikan dalam Akta SPRM 2009.

Akta SPRM 2009 menjelaskan matlamat utamanya adalah untuk menggalakkan integriti dan kebertanggungjawaban pentadbiran sektor awam dan swasta serta mendidik pihak berkuasa awam, pegawai awam dan orang awam tentang rasuah dan kesan buruknya terhadap pentadbiran. Oleh sebab itu, usaha membasmi rasuah tidak boleh hanya tertumpu kepada penangkapan pesalah kerana tanpa pendidikan serta pengurusan pentadbiran dan tadbir urus lebih telus dan efisien, ruang dan peluang rasuah akan sentiasa terbuka bagi mereka yang mencari kesempatan.

Di sini, sebuah jawatankuasa merentas agensi, iaitu Jawatankuasa Anti Rasuah (JAR) ditubuhkan untuk meningkatkan kecekapan dan ketelusan tata kelola pengurusan dan pentadbiran Kerajaan Persekutuan, negeri dan agensi ke arah negara bebas rasuah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Apa peranan utama JAR?

JAR dibangunkan bersama dengan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) sejak 2019 untuk mencapai visi negara bebas rasuah dan tata kelola pentadbiran berintegriti terutama dalam sektor perkhidmatan awam.
Bahagian Urus Tadbir Sektor Awam (BUTSA) selaku urus setia JAR peringkat kebangsaan memastikan keseragaman pengurusan yang berperanan menentukan isu-isu berimpak tinggi merentasi agensi serta mencadangkan langkah-langkah penyelesaian dan penambahbaikan kepada JKKMAR.

JAR merupakan platform untuk meningkatkan kecekapan dan ketelusan pengurusan kerajaan yang menumpukan kepada tiga bidang utama, iaitu pengukuhan tadbir urus, pemantapan integriti dan antirasuah. Sistem pentadbiran yang lebih bersih, telus, efektif dan terbuka menjadi agenda utama melalui tindakan mencegah penyelewengan dan ketirisan dana kerajaan demi kebajikan rakyat dan kepentingan negara.

Bagaimana pula keanggotaan JAR?

JAR dianggotai oleh Ketua Perkhidmatan Awam, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Audit Negara, Peguam Negara, semua Ketua Setia Usaha (KSU) kementerian, semua Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan lain-lain ahli yang difikirkan perlu.

Apa kejayaan JAR?

Antaranya mengesyorkan penubuhan Agensi Sempadan Tunggal (SBA) untuk menangani ketidakseragaman dan kekurangan pegawai penguat kuasa yang kritikal di pintu-pintu masuk sempadan negara. Isu ini boleh membuka ruang untuk aktiviti rasuah di sempadan yang boleh menggugat keselamatan negara.

Perbincangan lanjut dalam mesyuarat JAR peringkat kebangsaan memutuskan pasukan SBA dikuatkuasakan pada 11 November 2021. Kini, dalam peringkat akhir pelaksanaan, penubuhan SBA boleh meningkatkan integriti pengurusan di pintu masuk negara khususnya kawalan dan pemeriksaan keluar masuk terhadap orang, kenderaan, barangan dan binatang selain dapat membantu mengoptimumkan sumber negara.

JAR juga mengesyorkan kewujudan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pengurusan sumbangan/hadiah oleh agensi awam daripada pihak luar bagi tujuan bencana alam. Dalam hal ini, Jabatan Perkhidmatan Awam sedang menambah baik Tatacara Pemberian dan Penerimaan Hadiah dalam Perkhidmatan Awam dengan mengambil kira syor SPRM untuk meningkatkan ketelusan dan keseragaman mengenai pengurusan penerimaan dan permohonan sumbangan oleh agensi awam daripada pihak luar, sekali gus menutup ruang dan peluang rasuah dan penyelewengan daripada berlaku.

Selain itu, isu permohonan surat sokongan oleh pihak luar, contohnya syarikat yang mempunyai urusan rasmi dengan kementerian juga sesuatu isu yang boleh membuka ruang dan peluang untuk penyelewengan dan salah guna kuasa.

Mesyuarat JAR memutuskan dan bersetuju supaya surat sokongan dalam apa jua bentuk adalah tidak dibenarkan selaras dengan Inisiatif 1.3.1. Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang melarang anggota pentadbiran atau individu berpengaruh daripada mengeluarkan surat sokongan ke atas mana-mana permohonan atau projek.

Apakah usaha terkini BUTSA untuk memantapkan fungsi dan peranan JAR?

Jawatankuasa Sistem Bersepadu Anti Rasuah (JARIS) mula dibangunkan pada Ogos 2021 melalui kerjasama antara BUTSA dan Bahagian Pengurusan Rekod dan Maklumat (BPRM) SPRM. JARIS merupakan salah satu perancangan dalam Pelan Strategik SPRM 2021-2025 di bawah inisiatif Pemantapan Governans, Integriti dan Antirasuah – Pembangunan sistem pelaporan bagi isu berkaitan tadbir urus, integriti dan antirasuah berimpak tinggi dan merentasi agensi.

Apa kelebihan JARIS?
JARIS merupakan satu sistem teknologi maklumat melibatkan pengurusan dokumen mesyuarat, pengemukaan dan pemantauan maklum balas minit mesyuarat dan pelaporan isu JAR. Sistem ini bertujuan menguruskan JAR dengan lebih pantas dan efisien di samping memudahkan pemantauan oleh KSU dan SUK ke atas tindakan yang perlu atau masih belum diambil oleh kementerian dan kerajaan negeri.

Selain mengurangkan kesilapan manusia, JARIS juga menjadi platform kepada perkongsian dokumen dan amalan terbaik kementerian atau kerajaan negeri secara berpusat kerana semua dokumen akan disimpan dalam satu pangkalan data dan bukannya dalam komputer masing-masing. Malah, rekod pengemukaan dan penghantaran maklum balas atau laporan isu masih kekal dalam sistem walaupun pegawai JAR kementerian atau kerajaan negeri bertukar.

Di samping itu, JARIS juga berjaya menjadi pangkalan pusat data dalam mengumpul semua dokumen Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) dibangunkan oleh kementerian, kerajaan negeri dan agensi masing-masing serta menjadi platform kepada penyimpanan dokumen kementerian, kerajaan negeri dan agensi yang telah memperoleh pensijilan Sistem Pengurusan Anti Sogokan (ABMS).

Pembangunan JARIS secara dalaman oleh urus setia SPRM tanpa melibatkan sebarang kos telah memudahkan pengurusan maklum balas dan laporan isu JAR kerana sistem ini boleh diakses di mana-mana sahaja tanpa mengira waktu, menjadikannya sebagai satu sistem pengurusan serta pemantauan efektif dan berkesan sekali gus menggalas usaha membanteras rasuah di semua peringkat pentadbiran kerajaan. – UTUSAN

PENULIS ialah Pengarah Bahagian Urus Tadbir Sektor Awam (BUTSA), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×