SHAH ALAM: Kelemahan menarik sokongan pengundi bukan Islam antara aspek k dikenal pasti Pas selepas melakukan post mortem prestasi parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ‘bedah siasat’ itu dijalankan bagi melihat aspek kelemahan yang perlu diperbaiki dan aspek positif yang perlu dikekalk serta ditingkatkan.
“Aspek kelemahan antara menarik sokongan pengundi bukan Islam dan bilangan gabungan kerusi yang belum mencukupi untuk membentuk kerajaan walaupun berlaku peningkatan mendadak.
“Aspek positif pula antaranya mengekalkan sokongan pengundi muda, kekuatan media sosial, prestasi kerajaan negeri, imej bersih dan bebas rasuah, penambahan ahli dan cawangan, kesediaan jentera dan kualiti calon,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Muktamar Tahunan Pas Ke-69 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini hari ini.
Yang hadir sama bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pimpinan PN yang lain serta wakil-wakil kedutaan asing.
Abdul Hadi mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada para pengundi dan dermawan yang memberikan kepercayaan kepada Pas dan PN.
Katanya, penghargaan khusus juga diberikan kepada jentera parti yang berjuang dengan penuh pengorbanan tanpa mengira penat dan lelah serta semoga usaha mereka mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah SWT.
“Kerusi parlimen Pas daripada PRU12 hingga PRU14 tidak banyak berubah. Namun pada PRU15 kerusi Parlimen Pas berlaku peningkatan sebanyak 140 peratus daripada 18 kerusi dalam PRU14 kepada 43 kerusi dalam PRU15 sehingga mencatatkan bilangan kerusi Parlimen tertinggi dalam sejarah 71 tahun penubuhan Pa melalui kerjasamanya dalam gabungan PN. UMNO, PKR, Amanah dan DAP pula berlaku penurunan kerusi berbanding PRU14.
“Dalam Piihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri, Pas mencapai tahap kemenangan 83 peratus dengan mendapat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tertinggi sebanyak 105 kerusi berbanding parti-parti lain.
“Kerusi yang dimenangi keseluruhan oleh PN lebih tinggi berbanding Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN) iaitu PN menang sebanyak 146 kerusi dan PH-BN hanya mendapat 99 kerusi. Alhamdulillah,” katanya. – UTUSAN










