Cabar mahkamah syariah isu 3R sebenar

Cabar mahkamah syariah isu 3R sebenar

ABDUL Hadi Awang bersama kepemimpinan Pas pada Muktamar Tahunan Pas Ke-69 di Shah Alam, Selangor, yang berakhir semalam. - UTUSAN / SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tindakan mencabar enakmen mahkamah syariah di mahkamah sivil juga merupakan antara isu perkauman, keagamaan dan institusi diraja (3R) yang sepatutnya diberikan perhatian oleh kerajaan.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ini kerana undang-undang syariah sepatutnya diberikan imuniti yang tidak boleh dicampuri urusannya oleh mahkamah sivil dan perkara tersebut dianggap mencabar umat Islam di negara ini.

Menurutnya, situasi tersebut adalah isu 3R yang sebenar dan membahayakan kerana ia disifatkan sebagai mencabar kuasa raja-raja Melayu yang menjadi ketua agama Islam.

“Inilah 3R yang sebenar tidak boleh dicabar, bukan 3R kerja menasihati raja-raja, menasihati kerajaan, orang Melayu ini bukan 3R. 3R ini mencabar Islam, mencabar Allah, mencabar raja-raja itu 3R yang sebenar,” katanya dalam ucapan penangguhan Muktamar Tahunan Pas Ke-69, hari ini.

Tambahnya, situasi tersebut tidak sepatutnya berlaku selepas undang-undang syariah melalui fasa yang dilemahkan di negara ini ketika zaman penjajah.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassarudin Daud kecewa selepas ada individu bertindak mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 yang dilaksanakan di negeri itu.

Beliau berkata, lebih mengecewakan tindakan itu dibuat oleh seorang peguam beragama Islam dan berasal dari Kelantan bersama anaknya melibatkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 yang diperjuangkan sejak era pemerintahan Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat dan diluluskan dengan perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebelum dikuatkuasakan pada 2021.

Malah Abdul Hadi menegaskan, tindakan mencabar undang-undang syariah yang berlaku itu disifatkan lebih buruk berbanding cadangan kerajaan untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd).

Bahkan, ia juga dianggap lebih buruk berbanding peristiwa Natrah yang dimurtadkan pada 1950 sehingga mencetuskan rusuhan dalam kalangan umat Islam di Singapura pada Disember tahun tersebut.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menggesa hakim mahkamah sivil mengambil tindakan yang bijaksana seperti pernah dilakukan oleh hakim terdahulu seperti Tun Salleh Abbas, Tun Hashim Yeop Sani, Tan Sri Harun Hashim dan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

“Syariah (undang-undang) tak boleh dicabar kerana mempunyai imuniti atau kekebalan seperti firman Allah SWT, tidak harus bagi seorang lelaki atau perempuan yang beriman (disebut secara terperinci) kepada Allah dan rasul dalam memutuskan sesuatu perkara lalu membuat pilihan yang lain, tak boleh.

“Keputusan ulama boleh dibahas, ini cabar mahkamah syariah secara dasar sangat bahaya. Mencabar Allah, rasul, raja-raja Melayu yang menjadi ketua agama,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN